SHAH ALAM, 7 APRIL: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa kerajaan segera bertindak dengan memantau secara aktif kawasan industri terjejas susulan insiden kebakaran paip gas di Putra Heights.
Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, Saravanan Thambirajah berkata tragedi berkenaan mampu mencetuskan krisis bekalan lebih besar kepada pengguna sekiranya tidak ditangani dengan cepat dan berkesan.
Menurutnya, gangguan bekalan gas boleh mencetuskan kesan domino terhadap rantaian bekalan negara, khususnya bagi sektor yang bergantung kepada kelangsungan operasi industri secara berterusan.
“Antara produk yang berisiko mengalami gangguan bekalan adalah makanan diproses seperti roti, biskut, makanan dalam tin, ubat-ubatan, produk kebersihan dan kesihatan serta barangan elektronik,” katanya, lapor Berita Harian, hari ini.
Saravanan menambah, Malaysia sedang berdepan dengan isu kekurangan bekalan roti di beberapa kawasan yang dipercayai berpunca daripada masalah logistik, gangguan bekalan bahan mentah atau kekangan tenaga kerja.
“Sekiranya lebih banyak kilang atau pusat pengedaran tergendala akibat insiden Putra Heights, masalah seperti itu boleh menjadi lebih meluas dan serius,” katanya.
Pada 3 April lalu, pengurusan The Italian Baker Sdn Bhd yang menghasilkan roti jenama Massimo memaklumkan bekalan roti syarikat berkenaan dijangka terjejas susulan insiden letupan paip gas di Putra Heights.
Menurut kenyataan itu, bekalan gas asli cecair (LNG) ke kilang mereka telah digantung sementara oleh pembekal bagi membolehkan kerja pemulihan dilakukan.
Sementara itu, Saravanan berharap kerajaan menyalurkan maklumat telus dan terkini kepada pengguna serta merangka pelan kontingensi kebangsaan membabitkan laluan alternatif logistik, dan pembukaan semula akses utiliti dengan selamat.
Selain itu, katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pula perlu memainkan peranan aktif dengan memantau harga pasaran serta mengambil tindakan pantas terhadap sebarang unsur manipulasi harga atau pencatutan.
“Dalam masa sama, pengguna juga dinasihatkan untuk kekal tenang, mengelakkan pembelian panik dan merancang perbelanjaan secara berhemah,” katanya.