Kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin ditemui meninggal dunia di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember 2023. Foto Facebook Bernama
AGENDAJENAYAH

Kes Zayn Rayyan: Saksi dedah mesej WhatsApp ‘rasa nak bunuh orang’

PETALING JAYA, 7 APRIL: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa terdapat beberapa mesej perbualan WhatsApp daripada nombor telefon bimbit milik dua individu berkaitan dengan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin sebelum dan pada hari kanak-kanak autistik itu dilaporkan hilang pada 5 Dis 2023.

Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) ASP Mohd Zaidi Abu Hassan, 43, berkata tertera perbualan WhatsApp iaitu ‘Zayn hilang’, ‘dia lari’,’lantaklah nak hidup ke nak mati’, ‘letih gila aku mencari’ dan ‘geram betullah’ yang mana kesemua mesej itu dihantar sekitar 12 tengah hari, 5 Dis 2023.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sabrina Zubairi mengenai beberapa perbualan WhatsApp bertarikh 20 Jun 2023, Mohd Zaidi berkata antaranya ialah ‘stressnya sampai rasa nak bunuh orang je’,’kena belasah dah sekor-ekor’,’aku nak rehat pun tak leh’,’hang belasah jela sampai puas’ dan ‘pastu sakit ke mati ke baru tahu’.

“Terdapat juga dua mesej bertarikh 11 Okt 2023 iaitu ‘stress gilalah dengan Zayn ni’ dan ‘macam nak bunuh diri je sekarang’,” katanya semasa memberi keterangan pada perbicaraan hari ke-14 kes pengabaian yang dihadapi ibu bapa Zayn Rayyan iaitu Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari.

Bagaimanapun, saksi pendakwaan ke-25 itu tidak dapat mengesahkan pemilik kedua-dua nombor telefon bimbit berkenaan.

Mohd Zaidi yang berkhidmat sebagai pakar forensik selama 18 tahun berkata dua telefon bimbit yang dirampas semasa siasatan, satu daripadanya ialah jenama iPhone menggunakan iCloud yang didaftarkan atas nama Ismanira manakala telefon Huawei menggunakan akaun Google atas nama Zaim Ikhwan Zahari.

Terdahulu, Mohd Zaidi semasa membacakan pernyataan saksinya berkata pada 4 Jun 2024 beliau telah diserahkan satu beg plastik yang mengandungi dua telefon bimbit iaitu berjenama Huawei dan iPhone yang berada dalam keadaan baik.

“Berdasarkan borang permohonan untuk pemeriksaan atau analisis barang kes, pegawai penyiasat menghendaki pemeriksaan dibuat terhadap barang kes telefon bimbit untuk mengeluarkan apa-apa video, mesej, gambar yang telah dipadam dari telefon bimbit. Mengeluarkan kandungan mesej perbualan Whatsapp dari telefon bimbit bertanda iaitu perbualan antara B1 dan B2 (kedua-dua suspek) atas nama WhatsApp ‘Baby Sayang’ bertarikh 20 Jun 2023, 11 Okt 2023, 20 Nov 2023, 1 Dis 2023 dan 5 Dis 2023.

“Saya menjalankan analisa ini dengan menggunakan peralatan XRY – Mobile Data Forensic Phone Extraction & Recovery untuk telefon bimbit. Kaedah yang digunakan adalah dengan memastikan barang kes ini dalam keadaan baik,” katanya.

Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira kedua-duanya berumur 30 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar Jalan PJU Damansara Damai di sini pada 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Dis 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh bersambung esok.

– BERNAMA

 

 


Pengarang :