PETALING JAYA, 7 APRIL: Pengarah komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Lee Chean Chung menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Cabang Petaling Jaya pada pemilihan parti itu yang dijadual berlangsung minggu ini.
Turut menawarkan diri bertanding bagi cabang Petaling Jaya ialah Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Nabil Halimi bagi jawatan Ketua Angkatan Muda KEADILAN serta Maisarah Ismail selaku calon Ketua Wanita.
Menerusi sidang media, Chean Chung yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya berkata hasratnya bertanding di cabang tersebut mahu memberi nilai tambah di kawasan berkenaan sekali gus menjadikan pemilihan satu pertandingan yang sihat.
“Kita bukan mahu ‘downgrade’ atau membuat serangan peribadi sebaliknya mahu berikan yang terbaik untuk penyokong dna rakyat di Petaling Jaya selain membantu kerajaan Madani ke arah lebih baik.
“Antara aspirasi saya menguatkan akar umbi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan, Seri Setia dan Bukit Gasing serta sasaran bangunkan sekurang-kurangnya 50 ranting di Petaling Jaya.
“Saya juga bercadang jadikan cabang Petaling Jaya yang pertama mempunyai pejabat sendiri serta adakan mesyuarat majlis ranting-ranting Petaling Jaya sebelum cabang supaya suara akan umbi didengari,” katanya yang juga bekas Ketua Cabang Indera Mahkota.
Sementara itu, Nabil yang sebelum ini merupakan bekas Ketua AMK Petaling Jaya pula menyahut cabaran bertanding jawatan itu selepas mendapat nasihat daripada akar umbi selain demi memperkasa golongan belia.
“Ini pemilihan kali pertama selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri. KEADILAN kini dalam fasa memerlukan barisan kepimpinan lebih segar dan proaktif di lapangan, bukan untuk cerita politik semata-mata tetapi efektif dalam kerajaan.
“Bagi pemilihan kali ini, selain perkukuh dan bangunkan ranting-ranting di Petaling Jaya serta persiap jentera untuk pilihan raya akan datang, saya juga mahu bangunkan rumah angkatan muda di Taman Medan yang dilihat sesuai kerana ia kubu KEADILAN dan peratusan belia tinggi.
“Ia bukan mudah sebab ada beberapa penjuru tetapi fokus saya peringkat cabang namjn hasrat tawar di peringkat pusat juga. Insha-Allah saya akan tawarkan diri Naib AMK juga,” katanya.
Dalam pada itu, calon Ketua Wanita KEADILAN Cabang Petaling Jaya Maisarah Ismail pula berkata beliau komited untuk membawa golongan wanita supaya menjadi lebih kuat dengan menekankan kesatuan, inklusiviti, dan kepimpinan progresif.