SHAH ALAM, 7 APRIL: Dato’ Menteri Besar akan mengadakan perbincangan dengan beberapa pakar minggu depan bagi mencari langkah menangani peningkatan 24 peratus tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) kepada Malaysia.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata meskipun kadar dikenakan lebih rendah berbanding negara Asia lain, namun jumlah itu tetap memberikan kesan besar terutama kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Untuk industri semikonduktor, ia tidak dikenakan tarif, jadi ini satu kelebihan. Malaysia merupakan negeri kedua terendah selepas Singapura, ada negara lain ada sampai 30 peratus, 43 peratus.
“(Bagaimanapun) Selaku Pengerusi Asean, saya rasa kita juga bertanggungjawab mempertimbangkan untuk sahabat-sahabat negara jiran yang terkesan. Jadi, saya nampak hal itu.
“Kita juga ada solidariti dengan negara-negara lain. Saya percaya semalam Presiden Indonesia Prabowo Subianto bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membincangkan hal itu untuk kebaikan dan kemaslahatan bersama negara-negara Asean,” katanya.
Beliau mengulas perkara itu ketika sidang media di bangunan pentadbiran negeri berhubung insiden letupan saluran gas Petronas yang berlaku di Putra Heights, Subang Jaya minggu lalu.
Semalam Anwar menegaskan kerajaan komited mencari penyelesaian terbaik bagi memelihara dan memastikan akses pasaran tidak terjejas, selain terus menarik pelaburan asing dan menyokong kesejahteraan pekerja serta perniagaan di Malaysia.
Beliau mengakui kerajaan memahami kebimbangan, kerisauan dan kesulitan yang dihadapi pekerja, pengeluar dan perniagaan dalam sesetengah sektor susulan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus dikenakan AS ke negara ini.
Perdana menteri juga memberi jaminan Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan buat masa ini memandangkan ekonomi negara kekal berdaya tahan selain tidak akan memperkenalkan tarif balas terhadap AS.