Oleh Ufaira Tarmidzi
SUBANG JAYA, 2 APRIL: Projek pembangunan berhampiran lokasi kebakaran saluran paip gas bawah tanah di Putra Heights di sini, mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan.
Datuk Bandar Subang Jaya Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata projek berkenaan tidak berada dalam rizab laluan (ROW) Petronas dan diberikan kebenaran merancang pada 2022.
“Projek itu melalui proses kelulusan yang sewajarnya, termasuk mendapatkan kebenaran daripada pihak Petronas untuk menggunakan ROW bagi laluan Indah Water Konsortium (IWK).
“Selain itu, kontraktor yang terbabit juga antara panel yang diluluskan oleh IWK dan PETRONAS,” katanya ketika ditemui di pos kawalan tempat kejadian di sini, hari ini.
Amirul Azizan berkata pihaknya menggesa semua pihak menunggu hasil siasatan yang dijalankan oleh PETRONAS, polis dan pihak berkuasa berkaitan berhubung perkara tersebut.
“Buat masa ini, apa yang tersebar di media sosial bukanlah kenyataan rasmi. Kita perlu menunggu hasil siasatan untuk mengetahui punca sebenar kebakaran dan letupan tersebut,” katanya.
Jelas beliau, projek berkenaan sepatutnya siap pada Disember tahun lalu, namun mengalami sedikit kelewatan kerana masih dalam proses mendapatkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
“Saya tidak pasti punca sebenar kelewatan ini kerana ia di luar bidang kuasa saya. Mungkin membabitkan faktor kewangan atau lain-lain, tetapi apa yang pasti semua kelulusan diperoleh mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.