Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri melawat penduduk terjejas dalam kebakaran saluran paip gas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, Subang Jaya pada 7 April 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

Menteri: 235 mangsa dapatkan khidmat kaunseling, keperluan mendesak disantuni

SUBANG JAYA, 7 APR: Seramai 235 mangsa insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights di sini mendapatkan khidmat kaunseling di Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) sejak ia dibuka minggu lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata perkhidmatan PSSS Mobile dikendalikan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) itu, disediakan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights di sini.

Menurutnya, pusat berkenaan yang beroperasi 24 jam menyediakan perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial secara profesional kepada mangsa melalui kaunselor bertauliah dan berdaftar.

“Dari sesi kaunseling itu, dapat diketahui apa yang mereka perlukan dan dari situ kita menyantuni mereka mengikut keperluan individu, bukan keperluan secara menyeluruh lagi.

“Sebab ada individu yang ada keperluan terlalu mendesak. Jadi kita kaji keperluan masing-masing. Ada yang memerlukan penapis udara kerana mempunyai anak autistik dan ada juga baru bersalin memerlukan nursing bra (pakaian dalam khas untuk menyusu).

“Selain itu ada yang perlukan wang tunai untuk berulang alik ke hospital, minyak angin dan sebagainya. Kita menyantuni dan mendengar keluhan mereka melalui PSSS, jadi dari situ kita dapat melihat keperluan mereka,” katanya ditemui selepas meninjau PPS) berkenaan hari ini.

Sementara itu, YKN menerusi kenyataan memaklumkan, daripada 235 mangsa yang mendapatkan khidmat kauseling di PSSS setakat ini, 35 melibatkan kes berkaitan tekanan, kebimbangan (62), kemurungan (13), kewangan (34), kos sara hidup dan keperluan asas (59), hilang pekerjaan (1) dan trauma (31).

Menurut YKN lagi, sejumlah RM106,523 bantuan disalurkan setakat ini, bagi manfaat mangsa bencana termasuk di PPS.

Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights dan Dewan Serbaguna MBSJ Camelia merangkumi bantuan kewangan, keperluan harian serta pelbagai barangan hasil sumbangan orang ramai yang prihatin dan disalurkan melalui yayasan itu.

 


Pengarang :