KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Usaha berterusan giat dilaksanakan bagi menangani kesan kebakaran dan letupan paip gas di Putra Heights yang mengejutkan negara minggu lepas, termasuk membantu mangsa dan memulihkan kawasan terjejas.
Hari ini, kerja mengeluarkan air bertakung di kawasan kawah utama insiden – dikenali sebagai ‘ground zero’, masih diteruskan susulan hujan yang berlarutan sejak beberapa hari lepas.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat memaklumkan paras air bertakung meningkat sedikit pagi ini akibat hujan malam tadi.
Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Nor Hisham Mohammad pula berkata dua jentera pam air sentiasa bersiap sedia di lokasi kejadian sekiranya diperlukan untuk mengepam keluar air yang bertakung.
Dalam perkembangan terbaharu, lima van Rapid KL-On Demand digerakkan pagi ini untuk menghantar 76 pelajar dan murid dari dua pusat pemindahan sementara (PPS) ke 19 sekolah di sekitar Subang Jaya.
Daripada jumlah itu, 42 merupakan murid sekolah rendah dan 34 pelajar sekolah menengah dengan 60 orang merupakan pelajar sesi pagi dan 16 sesi petang.
Ketua Wilayah Tengah Rapid Bus Sdn Bhd Khairul Azhar Hamidulah berkata inisiatif itu dirancang bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan kelancaran sesi persekolahan selepas cuti Aidilfitri.
Inisiatif itu turut melibatkan kerjasama Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), PPD Petaling Perdana, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Prasarana Malaysia Berhad.
Sementara itu kesemua mangsa terlibat dijadual untuk menerima sumbangan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis penyampaian yang diuruskan oleh Setiausaha Politiknya Datuk Azman Abidin di Dewan Masyarakat berhampiran lokasi kejadian petang ini.
Setakat 11 pagi, seramai 374 mangsa daripada 98 keluarga masih berlindung di PPS Masjid Putra Heights.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dijadual meninjau PPS berkenaan serta lokasi kejadian di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights petang ini.
Insiden kebakaran saluran paip gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa lepas, menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Menurut data terkini, daripada 439 rumah yang dinilai, 220 disahkan selamat manakala 219 lagi mengalami kerosakan pelbagai tahap.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan 38 daripada keseluruhan 146 mangsa tragedi itu masih menerima rawatan iaitu 18 mangsa di hospital kerajaan manakala 20 lagi di fasiliti swasta. Tiada mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) atau kematian dilaporkan.
– BERNAMA