NASIONAL

Tolak Konvensyen Kebangkitan Ummah, bersifat perkauman

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 16 JAN: Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PAKATAN), Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan kenyataan di Konvensyen Kebangkitan Ummah 2018 baru-baru ini bertentangan dengan semangat Malaysia serta tidak selari dengan ajaran Islam.

Katanya, komen yang dibuat di konvensyen itu amat malang kerana sejarah dengan jelas mencatatkan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum bermatian memperjuangkan kemerdekaan negara.

“Masalah masyarakat bumiputera kini bukan kerana adanya golongan bukan Bumiputera, tetapi kerana pentadbiran yang lemah, kesilapan tadbir urus dan kepimpinan yang mementingkan diri sendiri.

“Jangan kita lupa Bumiputera Sabah dan Sarawak, yang mana ramai adalah bukan Islam di samping masyarakat Orang Asal,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi yang juga Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) berkata, pemikiran yang memecahbelahkan serta bersifat perkauman tidak akan mengangkat martabat masyarakat.

“Islam sentiasa mengajar kita tentang berlaku adil dan menunjukkan rahmat kepada semua masyarakat.

“Pada masa sama, tidak adil juga untuk biasiswa dihadkan hanya untuk pelajar satu kaum atau agama.

“Oleh itu, saya seru rakyat Malaysia patut menolak aliran pemikiran berbahaya yang dibawa konvensyen tersebut,” katanya.


Pengarang :