NASIONAL

Banjir Sarawak: Mangsa dipindah meningkat kepada 4,887

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 FEB : Jumlah mangsa banjir di Sarawak hari ini semakin meningkat kepada 4,887 orang berbanding semalam hanya 3,435, semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Mejar Ismail Mahedin berkata, setakat jam 8.00 pagi tadi, kesemua mangsa daripada 1,419 buah keluarga itu ditempatkan di 31 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini.

Beliau berkata, antara bahagian yang terjejas akibat banjir berkenaan adalah Kota Samarahan, Serian, Sri Aman, Sibu, Mukah, Bintulu dan Limbang.

“Kota Samarahan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 1,857, diikuti Serian (1,564), Bintulu (504), Sibu (388), Mukah (271), Limbang (271) dan Sri Aman (32).

“Setakat ini, kesemua PPS banjir dilaporkan dalam keadaan selamat dan terkawal,” katanya memetik laporan Kosmo Online.

Pada masa sama, Ismail berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak melaporkan terdapat 43 sekolah terpaksa ditutup akibat banjir.

Katanya, penutupan sekolah berkenaan membabitkan seramai 5,380 pelajar, 677 guru dan 249 staf sokongan sekolah.

“Daripada jumlah itu, 11 sekolah ditutup kerana dijadikan PPS,” katanya.

=EZY=


Pengarang :