PBTSELANGOR

Pemaju disyarat bina laluan basikal dalam pelan perumahan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SUBANG JAYA, 12 FEB: Pihak pemaju perumahan disyaratkan membina laluan berbasikal dalam pelan tindakan yang akan datang bagi kawasan rumah baharu.

Exco Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan Kecil & Sederhana (IKS) dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Kim berkata, tindakan itu bagi mencapai sasaran Kerajaan Negeri untuk membina 1,000kilometer (km) laluan basikal menjelang 2021.

“Kawasan perumahan baru adalah disyaratkan perlu ada pelan tindakan bagi laluan berbasikal.

“Manakala bagi kawasan perumahan lama, kita akan bina laluan basikal berkongsi dengan jalan raya seperti yang telah dilaksanakan di Putra Height, Subang Jaya,” katanya dalam sidang media perasmian trek basikal Putra Height, semalam.

Teng berkata, tahun lalu Kerajaan Negeri berjaya membina 148 km laluan basikal di seluruh Selangor dengan 52 km adalah laluan basikal di kawasan perumahan baru.

“Jika pemaju terus merangka pelan untuk 50 km laluan basikal bagi perumahan baru, maka sudah pasti kita akan dapat mencapai sasaran.

“Bagaimanapun setakat ini saya berasa puas hati dengan usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk terus merangka melaksanakan laluan basikal ini walaupun pada permulaan terdapat beberapa kekangan yang perlu dihadapi termasuk masalah kelebaran dan persimpangan jalan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :