PBTSELANGOR

MPK: Tindakan tegas jika disabit kesalahan rasuah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 16 MAC: Majils Perbandaran Kajang (MPK) akan mengambil tindakan tatatertib terhadap tujuh anggota penguatkuasanya jika disabitkan kesalahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, jika tujuh anggota penguatkuasanya disabit kesalahan menerima suapan rasuah daripada pengusaha kafe siber, maka tindakan tatatertib buang kerja boleh diambil.

“Namun, perkara itu masih dalam siasatan dan mereka juga berada dalam tahanan SPRM untuk siasatan.

“Selepas kita menerima laporan sah daripada SPRM, baru tindakan lembaga tatatertib mempunyai kuasa untuk menahan mereka daripada menjalankan tugas,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penghargaan Anugerah MPK Care 2018, di Pusat Konvensyen Shah Alam, semalam.

Yasid berkata, tindakan anggota penguatkuasa yang mengambil rasuah dari pusat siber kafe adalah atas pilihan sendiri dan tidak didorong Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

“Kita tidak pernah mengarahkan anggota untuk melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang, malahan MPK adalah PBT pertama yang mengadakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai aku janji kakitangan untuk bebas daripada amalan itu.

“Kita juga ada unit integriti yang sentiasa memantau dan melaksanakan aktiviti termasuk memberi penerangan melalui ceramah berkenaan rasuah serta salah guna kuasa sebagai satu kesedaran kepada semua kakitangan,” katanya.

Terdahulu, SPRM menahan tujuh anggota penguatkuasa PBT kerana dipercayai meminta suapan berjumlah RM1,000 daripada pengusaha kafe siber tanpa lesen, di Klang, pada 21 Oktober 2017.

Kesemua mereka berusia lingkungan 31 hingga 42 tahun ditahan kira-kira jam 1.45 petang, pada 14 Mac lalu.


Pengarang :