SELANGOR

ADN PAKATAN Selangor nyata protes terhadap SPR

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 28 MAC: Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor dari Pakatan Harapan (PAKATAN) sebulat suara membantah dan menolak syor persempadanan semula kawasan pilihan raya dicadangkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Ia ditolak ekoran dakwaan pihak berkuasa itu mengemukakan cadangan bagi memberi kelebihan kepada Umno-Barisan Nasional (BN) bagi mengambilaih negeri itu daripada PAKATAN dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU14) nanti.

ADN Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar, berkata pihaknya menyatakan protes selepas Dewan Negeri Selangor (DNS) meluluskan usul dikemukakan itu.

“Kita mengecam dan menolak cadangan SPR ini kerana melihat persempadanan semula dikemukakan tidak berasas dengan beberapa kawasan DUN dan Parlimen mengalami perubahan tidak seimbang megikut pecahan kaum.

“Selangor juga dilihat sebagai negeri yang terkesan dalam proses berkenaan dan kita mengecam juga menolaknya,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau mendakwa, cadangan SPR dikemukakan dan dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat itu akan mengalami proses kelulusan segera di mana keputusannya tidak mengambil kira pandangan semua pihak seadilnya.

Katanya, proses demokrasi di negara ini tidak berjalan seperti mana sepatutnya dan rakyat berdepan dengan situasi tidak memihak kepada mereka.

“Kes berkaitan persempadanan semula kawasan pilihan raya ini juga adalah subjudis kerana terdapat sekurang-kurangnya empat kes bantahan dikemukakan di empat mahkamah berbeza di negara ini.

“Satu kes adalah berkaitan Kerajaan Negeri yang akan didengar esok dan satu lagi berkaitan Ahli Parlimen Subang, Charles Santiago bagi menghalang pembentangannya di Parlimen.

“Manakala dua lagi membabitkan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) mewakili 10,000 pengundi Selangor bagi membantah tindakan SPR ini,” katanya.

Usul tergempar dikemukakan ADN Bukit Gasing, R Rajiv, berhubung perkara berkaitan diterima untuk dibahaskan DNS yang kemudiannya meluluskannya.

Selepas keputusan itu dibuat, DNS mengemukakan surat bantahan bagi menolak cadangan SPR itu melalui faks kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan SPR.

Cadangan SPR bagi persempadanan semula kawasan pilihan raya itu dibentangkan untuk dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

=EZY=


Pengarang :