NASIONAL

Usul persempadanan lulus, MP Pakatan bantah plakad kuning

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Ahli Parlimen Pembangkang mengangkat plakad kuning dengan perkataan ‘Bangkit Rakyat Hentikan Penipuan’ sebagai bantahan keputusan usul Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya yang diluluskan di Dewan Rakyat, petang ini.

Diiringi laungan ‘tipu’ dan ‘curi’, tindakan itu juga dibuat selepas keputusan usul yang menyaksikan perubahan nama kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri diluluskan dengan perolehan 129 anggota Dewan Rakyat menyokong, sementara 80 lagi menolak.

Sementara dua wakil bebas Sim Tong Him (Kota Melaka) turut menolak usul berkenaan, manakala Tan Sri Khalid Ibrahim menyokong usul itu di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan laporan persempadanan baru untuk kawasan pilihanraya di Semenanjung Malaysia, kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Pembentangan itu menyaksikan 14 anggota Parlimen Barisan Nasional dan Pembangkang mengambil bahagian membahaskan usul berkenaan.

Antaranya, Ahli Parlimen Gombak; Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Ahli Parlimen Lembah Pantai; Nurul Izzah Anwar.

Terdahulu, Mohamed Azmin dalam perbahasannya menegaskan, kelulusan proses usul persempadanan baru itu akan menyebabkan negara hancur, susulan perubahan komposisi kaum besar di setiap kawasan pengundian.

=EZY=


Pengarang :