BERITA UTAMASELANGOR

Jurnal Hal Ehwal Islam dan Warisan Selangor sumber panduan peradaban

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 MAC: Jurnal Hal Ehwal Islam dan Warisan Selangor julung kali diterbitkan sebagai sumber panduan dan maklumat berkenaan perkembangan, kemajuan, ketamadunan dan peradaban negeri Selangor.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Yunus Hairi berkata, terbitan jurnal itu bertujuan untuk mewujudkan saluran kepada ahli akademik, penyelidik dan masyarakat untuk berkongsi dapatan kajian, idea dan maklumat.

Katanya, jurnal berwasit melalui kaedah ‘peer reviewed journals’ itu berasaskan integrasi ilmu dalam disiplin pengajian Islam dengan kemanusiaan yang bersifat kontemporari sekaligus menyumbang kepada pembangunan negeri khususnya dari segi teori dan amali.

“Dengan menerbitkan jurnal ini, ia merupakan sejarah yang akan dirakamkan di dalam tinta sejarah negeri kerana jurnal ini merupakan satu-satunya bahan ilmiah berwasit yang pernah dihasilkan oleh Kerajaan Negeri.

“Secara tidak langsung, ini menunjukkan Selangor mempunyai sejarah yang unik seperti negeri lain dalam negara ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran jurnal itu, di SUK, di sini.

Hadir sama Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim.

Dr Yunus berkata sejak 2013, pelbagai usaha pengukuhan dan pemerkasaan Institusi Agama Islam dan Warisan Adat Budaya Selangor dilaksanakan dengan secara tersusun bagi merealisasikan hasrat DYMM Sultan Selangor supaya negeri itu mampu memimpin peradaban dunia islam di rantau Asia.

Katanya, rakyat Selangor kini secara keseluruhannya amat meyakini dan mengiktiraf segala usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi mencapai matlamat dan tujuan itu.

“Selain itu, dengan hasil penghijrahan pelbagai pihak sejak dulu ke Selangor banyak menambah ‘warna’ koleksi warisan sejarah adat budaya.

“Namun kini, kebanyakan adat budaya terdahulu banyak ditapis agar is disahkan ketulenan bagi menjadi identiti adat dan budaya selain tidak bersalahan dan bertentangan dengan hukum syarak,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 700 naskah sudah dikeluarkan dan jurnal sedemikian akan diterbitkan dua kali setahun pada Jun dan Disember.

Katanya, jurnal itu diterbitkan dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Arab serta boleh didapati secara talian di www.jurnalselangor.com.my

=EZY=


Pengarang :