BERITA UTAMASELANGOR

RM150,000 bantu Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia laksana program

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 31 MAC: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan sumbangan berjumlah RM150,000 kepada Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia bagi membantu mereka melaksanakan pelbagai program berunsur silat.

Perkara itu diumumkan sendiri, Pewaris Mutlak Silat Cekak Hanafi, Syeikh Dr Md Radzi Hanafi semasa upacara penutupan Kejuaraan Wajadiri MySilat Cekak Pusaka Hanafi Peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Sekolah Seluruh Malaysia 2018 di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam.

Mohamed Azmin dalam ucapannya sebelum itu berkata, seorang pesilat tidak boleh menganggap cabaran perlawanan yang diterima bukan menunjukkan mereka lemah sebaliknya mendidik diri supaya berani berdepan musuh.

“Apabila cabaran mendatang, silat mendidik kita untuk mempunyai keberanian melawan musuh. Jangan sekali-kali kita berundur.

“Perlawanan yang kita maksudkan adalah perlawanan bagi menegakkan keadilan dan kebenaran serta mengangkat maruah Islam dan Melayu di bumi ini.

“Kita bukan bermaksud untuk menyatukan kekuatan bersekongkol dengan melakukan kerosakan serta kemusnahan.

“Islam tidak membenarkan kita condong terhadap sebarang bentuk amalan rasuah dan salahguna kuasa tetapi Islam menuntut kita supaya ada keberanian serta disiplin yang tinggi untuk tampil ke hadapan, lawan mereka yang merosakkan bumi bertuah ini,” katanya.

Penganjuran acara tahunan buat kali ke-22 ini menyaksikan penyertaan seramai 5,000 orang anak muda daripada 90 kontinjen Silat Cekak Pusaka Hanafi mewakili institusi pendidikan dari seluruh negara dengan tema ‘Perisai Jatidiri’.

Konsep pertandingan Pusaka Hanafi adalah pertandingan persembahan untuk penilaian para juri terhadap kreativiti persembahan berasaskan kaedah dan keaslian sistem pembelajaran Pusaka Hanafi itu sendiri.

Ia selari dengan pantang larang Pengamal Pusaka Hanafi iaitu ‘tidak boleh bergaduh sesama ahli perguruan’ bertujuan membina semangat kekeluargaan.

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Jasin, Melaka dinobatkan selaku Juara Keseluruhan Utama bagi tahun 2018 seterusnya membawa pulang trofi kejuaraan.

Mereka turut cemerlang apabila mengungguli kategori Juara Keseluruhan Peringkat IPT dan Juara Keseluruhan Peringkat IPT kategori Lelaki.

Juara Keseluruhan Peringkat IPT kategori Wanita disandang oleh Universiti Kiala Lumpur (UNIKL) Mestech Kajang, Selangor.

Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Jalili, Johor pula dinobatkan selaku Juara Keseluruhan Peringkat Sekolah 2018.

Bagi Juara Keseluruhan Peringkat Sekolah kategori Lelaki dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara Rini, Johor manakala Kolej Vokasional Sungai Buloh, Selangor memenangi kategori Wanita.

Dalam majlis sama, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Selangor dipilih selaku tuan rumah bersama bagi penganjuran Kejuaraan Wajadiri MySilat Cekak Pusaka Hanafi Peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Sekolah Seluruh Malaysia 2019.

=EZY=

 


Pengarang :