SELANGOR

Yakin pertahan Selangor walau hadapi persempadanan SPR, tiga penjuru

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 31 MAC: Pakatan Harapan (Pakatan) Selangor yakin mampu mempertahankan Kerajaan Pakatan di Selangor walaupun berhadapan dengan persempadanan baru dan perpecahan undi akibat pertandingan lebih dua penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Pengerusi Pakatan Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal ini berikutan rakyat di negeri termaju itu melihat segala usaha dan pencapaian sepanjang sembilan tahun Pakatan menerajui negeri itu.

“Saya optimis dan yakin kerajaan yang ada akan kekal kerana rakyat Selangor tahu apa yang kita dah buat sembilan tahun kebelakangan ini dan mereka gembira dengan polisi Kerajaan Negeri di mana mereka menerima manfaat polisi dan program.

“Kita akan kaji persempadanan semula ini kerana dah diluluskan di parlimen tetapi saya optimis walaupun dengan persempadanan baru, kami mampu pertahankan Selangor dan meneruskan kerja untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada media selepas merasmikan Pesta Buku Selangor 2018 di Shah Alam Convention Centre (SACC) di sini, hari ini.

Jelasnya, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan polisi Kerajaan Negeri sebagai negeri penyayang untuk rakyat Selangor keseluruhan.

Bagaimanapun katanya, beliau mengakui persempadanan semula yang baru diluluskan di parlimen pada Rabu lalu sedikit sebanyak memberi kesan terhadap pengagihan kerusi di Selangor.

Katanya lagi, pada masa ini pengagihan kerusi di Selangor sudah berada di peringkat akhir rundingan.

=EZY=


Pengarang :