NASIONAL

Pesuruhjaya SPRM baharu dilantik esok

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan melantik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, esok bagi menggantikan Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Mahathir berkata, pelantikan itu dibuat bagi melancarkan siasatan terhadap beberapa kes rasuah yang didakwa banyak berlaku sebelum ini.

“Saya harap esok saya boleh lantik pegawai baru untuk mengepalai SPRM,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.

Ketika menyentuh kedudukan Peguam Negara, Tun Mahathir berkata, Tan Sri Mohamed Apandi Ali buat masa ini diarahkan bercuti.

Katanya, tugas Mohamed Apandi akan diambil oleh Peguamcara Negara bagi melancarkan proses pengampunan terhadap Ketua Umum KEADILAN dan siasatan beberapa kes rasuah.

“Saya sudah jumpa peguam terbabit dalam siasatan terhadap rasuah yang dilakukan dan bagaimana tidak dilaksanakan serta semua ini memerlukan pelantikan baru dalam SPRM,” katanya.


Pengarang :