SELANGOR

Kedai buku 24 jam di Cyberjaya

OLEH NADIAH ZAMLUS

CYBERJAYA, 25 JUN: BookXcess merekod sejarah tersendiri apabila muncul kedai buku pertama, di Malaysia yang beroperasi selama 24 jam.

Ketua Pegawai Produknya, Yujeen Chua berkata, BookXcess juga adalah pemilik rangkaian kedai buku dan penganjur pesta buku Big Bad Wolf.

Katanya, kedai buku yang terletak di Tamarind Square itu menawarkan lebih 500,000 buku dengan harga 50 hingga 80 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

“Kami menjual pelbagai jenis buku termasuk fiksyen, seni dan rekaan serta buku kanak-kanak dalam pelbagai bahasa, justeru berharap ia menarik pelbagai lapisan masyarakat, terutama pelajar universiti di sekitar Cyberjaya, Putrajaya juga kawasan berdekatan.

“Selain itu, lokasinya yang dikelilingi keindahan landskap menjadi pilihan kerana ia lebih selesa, jauh daripada kesibukan bandar dan boleh memberi sumber inspirasi buat pembaca,” katanya ketika melancarkan kedai buku berkenaan.

Beliau berkata, akan dikunjungi pencinta buku bukan sahaja dari Lembah Klang tetapi penduduk di Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Katanya, kedai buku itu juga menyediakan ruang umum untuk pelanggan membuat kerja atau membaca, WiFi percuma, kafe dan ruangan untuk mengadakan aktiviti seperti kelas seni serta kraf juga pertandingan mewarna.

“BookXcess mula dibuka di Amcorp Mall, pada 2006 kini sudah mempunyai tujuh cawangan antaranya di beberapa pusat membeli-belah seperti Starling Mall di Damansara, Fahrenheit 88 di Bukit Bintang dan 1Utama di Petaling Jaya,” katanya.


Pengarang :