SUKANKINI

PKNS FC junjung kasih, tekad juarai Piala Sultan Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 JUL: PKNS FC berazam menjuarai Piala Sultan Selangor kali ini dan menghadiahkan piala penuh tradisi itu kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Presidennya, Siti Zubaidah Abdul Jabar berkata, pihaknya menjunjung kasih atas perkenan Sultan Selangor untuk PKNS FC menyertainya buat kali kedua serta bertekad menebus kehampaan tahun lalu.

“Satu penghormatan besar buat kami untuk mewakili Selangor dan beriltizam dengan penuh semangat untuk bermain bermati-matian bagi menghadiahkan kemenangan dan membawa pulang trofi Piala Sultan Selangor ke pangkuan Tuanku dan rakyat Selangor tahun ini.

“Pastinya kami juga mengharapkan sokongan seluruh rakyat di negeri ini khususnya peminat dan penyokong bola sepak Selangor bersatu di bawah semangat kesukanan kerana menyokong PKNS FC,” katanya.

PKNS FC terpilih sebagai Pilihan Selangor dalam kejohanan di Singapura tahun lalu namun tewas kepada Pilihan Singapura 3 – 2 .

Piala Sultan Selangor menjadi simbol kepada hubungan istimewa di antara dua buah negara atas semangat kesukanan diilhamkan Sultan Selangor.

Tahun ini adalah edisi ke 16 penganjuran dan dijadualkan berlangsung di Stadium Shah Alam di sini pada 25 Ogos ini.

Ia bermula pada 2001 dengan Pilihan Selangor menjuarainya lapan kali manakala Pilihan Singapura (tujuh).


Pengarang :