SELANGOR

Invest Selangor mahu tarik pelabur UK

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 JULAI: Invest Selangor mahu menarik lebih ramai pelabur dari United Kingdom (UK) pada pertengahan Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Hasan Azhari Idris berkata, pihaknya menyertai sebuah pameran di negara itu bermula 15 Julai depan bertujuan untuk memperkenalkan Selangor dalam kalangan pelabur.

“Penyertaan Invest Selangor kali ini juga membolehkan kita mengenali pelabur berpotensi, malah dijangkakan pameran itu juga turut disertai pelabur daripada pelbagai negara.

“Sudah tentu ia peluang besar buat Selangor, dan pada tahun ini Invest Selangor akan berusaha meningkatkan usaha pelaburan ke negeri ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Jalinan Silaturrahim Aidilfitri 2018 di Hotel Concorde.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Azmie Diron.

Lebih daripada 1,000 tetamu hadir ke majlis berkenaan yang turut dimeriahkan dengan persembahan band.

Hasan berkata, beliau gembira apabila majlis berkenaan berjalan lancar dan kehadiran di luar jangkaan.

“Saya berbesar hati dan semoga majlis ini dapat mengeratkan hubungan kita,” katanya.


Pengarang :