SELANGORSUKANKINI

Menang dahulu, ganjaran kemudian

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan ganjaran sesuai buat pasukan Selangor jika berjaya menewaskan Pahang dalam perlawanan akhir Shopee Piala Malaysia 2018, malam esok.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, setakat ini jumlah itu masih dirahsiakan, namun beliau mahu menyelesaikan beberapa perkara berhubung tunggakan.

Katanya, hal itu kerana ia membabitkan undang-undang yang mampu memberikan kesan negatif kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) jika berlaku masalah.

“Kita akan memberikan (ganjaran) setimpal, saya tidak mahu menjanjikan apa-apa. Pada masa ini, saya sudah selesaikan isu stadium dan pusat latihan.

“Dalam perbincangan saya bersama Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda (Tengku Amir Shah), kita sudah selesaikan sekurang-kurangnya 60 peratus keperluan tahun ini sehingga hujung tahun. Kita sudah ada peruntukan itu dan boleh disalurkan bila-bila masa,” katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, ganjaran yang bakal diumumkan kelak disifatkan sebagai kejutan dan menegaskan keutamaan kini adalah menjulang kejuaraan, sekali gus mendapat tempat dalam saingan Piala AFC musim hadapan.

“Lebih baik suspen sedikit. Saya tidak boleh umumkan selagi tidak peroleh kepastian tetapi saya sudah bincangkan dengan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

“Kita perlu fikirkan jumlah kerana belum diperuntukkan lagi dalam pelan kewangan negeri tetapi kalau ada lebih daripada anak syarikat, boleh diberikan sebagai ganjaran kemenangan pasukan Selangor yang kali terakhir menjuarainya sembilan tahun lalu,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga mahu memastikan isu berkaitan tungakkan gaji, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), PERKESO dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diselesaikan, pada Isnin ini.

“Isu gaji pemain (bulan Jun) kita akan pastikan dikemas kini menjelang esok petang.

“Ini berkaitan undang-undang. Jika tidak diselesaikan, ia akan memberikan kesan kepada persatuan dan masa depan pemain,” katanya.

 


Pengarang :