SELANGOR

PRK DUN Sungai Kandis penanda aras pilihan raya di era kerajaan baru

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 11 JUL: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menganggap Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis sebagai penanda aras terhadap perjalanan pilihan raya di bawah kerajaan baru Pakatan Harapan (PAKATAN).

Pemangku Pengerusi Bersih 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari berkata, PRK pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) itu bakal mempengaruhi perjalanan PRU dan PRK lain selepas ini.

“Kami menyeru semua pihak memastikan PRK Sungai Kandis dijalankan secara bersih dan adil serta menetapkan penanda aras untuk pilihan raya akan datang.

“PRK Sungai Kandis menjadi model pilihan raya selepas ini dan Bersih 2.0 berharap supaya tiada penyelewengan berlaku seperti mana banyak berlaku pada PRU14 lalu seperti penyalahgunaan jentera kerajaan dan lain-lain,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Bersih 2.0 di Pusat Perniagaan Avenue 8 di sini, hari ini.

Shahrul Aman berkata, jumlah laporan salah laku membabitkan parti bertanding pada PRU14 lalu sangat membimbangkan.

Katanya, Bersih 2.0 turut mengulangi gesaan supaya enam Pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan jawatan bagi mengambil tanggungjawab ke atas penipuan dan kesilapan pengurusan pada PRU-14 lalu.

“Mereka seharusnya tidak lagi diberikan tanggungjawab menjalankan sebarang pilihan raya dalam negara ini,” katanya.

 


Pengarang :