GLOBAL

Presiden Iran beri amaran keras pada Trump

IRAN, 22 JULAI: Presiden Iran, Hassan Rouhani mengingatkan Amerika Syarikat (AS) supaya tidak mengganggu ketenteraman negara itu atau bakal berdepan bahana.

Peringatan khusus kepada Presiden AS, Donald Trump itu susulan usaha Washington yang didakwa cuba memecah belah kestabilan republik berkenaan.

“AS perlu tahu, berdamai dengan Iran merupakan ibu segala keamanan, manakala berperang dengan Iran pula adalah ibu segala peperangan,” katanya lapor agensi berita IRNA.

Beliau turut mengingatkan Trump untuk berhenti masuk campur urusan negara itu.

“Kamu tidak berhak mengapi-apikan rakyat Iran untuk bertindak mencabar kepentingan dan keselamatan Iran,” katanya.

Iran ketika ini berdepan tekanan oleh AS selepas Trump membuat keputusan membawa negara itu keluar dari perjanjian antarabangsa berhubung program nuklear Iran 2015.

Di Washington, sumber dalaman kerajaan AS mendedahkan pentadbiran Trump ketika ini sedang berusaha memberi tekanan berterusan kepada Iran untuk menghentikan program nuklearnya selain menghentikan sokongan kepada pengganas.


Pengarang :