SELANGOR

DAP mesyuarat minggu depan bincang calon PRK Balakong

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 31 JUL: DAP Selangor akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong.

Naib Pengerusi DAP Selangor, Dato’ Teng Chang Khim berkata, mesyuarat itu dijangka akan diadakan pada minggu ini dan selewat-lewatnya minggu hadapan.

“Bagaimanapun melalui maklumat yang saya perolehi, DAP juga masih belum membuat sebarang keputusan memandangkan hari penamaan baru diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sebelum itu, SPR menetapkan 8 September sebagai hari pengundian dan 18 Ogos ini sebagai hari penamaan calon bagi PRK DUN Balakong.

PRK itu diadakan ekoran kematian penyandangnya, Ng Tien Chee pada 20 Julai lalu dalam satu kemalangan jalan raya, di Kilometer 11.7 Lebuhraya Grand Saga.

Tien Chee terbunuh selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail yang dipandunya melanggar bahagian belakang sebuah lori pencuci jalan dan mendiang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah, di kepala.

Pada Pilihan Raya Umum lalu, Tien Chee berjaya mengekalkan kerusi DUN Balakong untuk penggal kedua selepas menewaskan calon Barisan Nasional dan PAS dengan majoriti 35,538 undi.


Pengarang :