GLOBAL

Artikel kontroversi dorong kebencian terhadap wanita Muslim di Britain

LONDON, 13 OGOS: Beberapa wanita Islam diserang sejak awal minggu ini susulan artikel kontroversi bekas Menteri Luar, Boris Johnson membandingkan wanita berburqa ibarat peti surat dan perompak bank.

Sebuah badan pemantau terhadap jenayah kebencian di Britain, Tell Mama berkata, lima wanita berdepan penghinaan Islamofobia di London dan Luton sejak Johnson mencetuskan perdebatan awam mengenai pemakaian burqa dalam Daily Telegraph, pada 5 Ogos lalu.

Badan pemantau itu mengatakan semua wanita yang dihina memakai niqab.

Ia berkata serangan lisan secara langsung dikaitkan dengan keterangan Johnson dalam artikel wanita memakai burqa, sebagai peti surat.

Pada 8 Ogos lalu, satu serangan berlaku di London sebelum dua wanita disasarkan keesokan harinya di ibu negara.

Seorang lagi wanita mengalami penderaan lisan kerana memakai niqab pada hari Jumaat sementara terdapat satu lagi kejadian pada 9 Ogos di Luton, sebuah bandar sekitar 50 kilometer dari London.

Bagaimanapun, Johnson enggan memohon maaf di atas kenyataan negatifnya terhadap pemakaian burqa.

Pengerusi Parti Konservatif telah menuntut Johnson memohon maaf, malah Perdana Menteri Britain, Theresa May berkata, kenyataan Johnson itu jelas satu kesalahan.

Kenyataan Johnson mendapat kritikan daripada beberapa kumpulan Islam, ahli-ahli Parlimen dan parti pembangkang.

Pengasas Forum Muslim Konservatif berkata, kenyataan itu boleh menjejaskan hubungan komuniti.

Pengerusi Parti Konservatif, Brandon Lewis bersetuju dengan Menteri Pejabat Luar, Alistair Burt yang berkata, kenyataan Johnson merupakan satu kesalahan dan mahu bekas Datuk Bandar London itu memohon maaf. – Press TV

 


Pengarang :