SELANGOR

PRK Seri Setia: Penambahan Pusat Kaunseling Komuniti langkah pengurangan masalah sosial

OLEH AFIX REDZUAN

DAMANSARA, 25 OGOS: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar mencadangkan penubuhan Pusat Kaunseling Komuniti di seluruh kawasan DUN Seri Setia bagi mengurangkan potensi masalah sosial khususnya dalam kalangan masyarakat penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Katanya, latar belakang kehidupan dari kelompok masyarakat berpendapatan rendah antara faktor menyebabkan mereka mudah terdedah ke kancah masalah sosial.

“Walaupun setakat ini ada pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) menawarkan khidmatnya di PPR Lembah Subang, saya dapati ia masih belum mencukupi memenuhi keperluan masyarakat setempat.

“Bagi tujuan menyebarluaskan ilmu dan pengetahuan berkaitan kaunseling, saya juga sedang merangka Program Latihan Kaunseling kepada pemimpin masyarakat seperti ahli jawatankuasa (AJK) masjid, ketua komuniti bukan Islam dan AJK persatuan penduduk.

“Usaha ini saya anggap dapat membantu di peringkat awal bagi mengatasi masalah dihadapi masyarakat terutama meredakan tekanan emosi yang mereka hadapi,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Daerah Mengundi Ara Damansara.

Katanya, masyarakat tidak boleh memandang ringan masalah membabitkan emosi kerana ia boleh mencetuskan pelbagai masalah sampingan lain jika tidak ditangani dengan segera.

“Program Pembangunan Komuniti bagi melahirkan masyarakat lebih sejahtera juga melibatkan peranan Pusat Khidmat Masyarakat. Melaluinya, Pusat Khidmat Masyarakat ini akan menyedia dan menawarkan khidmat kaunselor bertauliah, sekurang-kurangnya sekali seminggu.

“Kita juga berusaha bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM) dengan agensi Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Pembangunan Penduduk Keluarga Negara (LPPKN), juga Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan (KPKT) serta beberapa Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi merangka dan menjalankan program-program ini,” katanya.

Selain itu, Halimey turut bercadang menyediakan Talian Khas bagi mengendalikan masalah yang dihadapi penduduk, terutama berkaitan kecemasan dan perkara memerlukan tindakan segera.


Pengarang :