SELANGOR

FLORIA Diraja Putrajaya 2018 tanda aras industri landskap negara

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PUTRAJAYA, 25 OGOS: Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya 2018 (FLORIA Diraja Putrajaya 2018) bukan sahaja dikenali sebagai produk pelancongan, bahkan acara ikonik itu menjadi penanda aras bagi industri landskap dan hortikultur negara.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, penganjuran festival yang menjengah edisi kesepuluh itu sekali gus mampu memperkukuhkan imej Putrajaya sebagai ‘Garden City’.

Katanya, Kementerian Wilayah menerusi Perbadanan Putrajaya (PPj) juga dilihat giat merancakkan usaha dalam meletakkan Putrajaya sebagai destinasi dalam peta festival bunga-bungaan sedunia (World Flower Show Map).

“Usaha berterusan ini sudah membuahkan hasil dengan pencapaian 10 anugerah yang telah dikecapi mereka, simbolik dengan sambutan ulang tahun ke-10 FLORIA.

“Kita berhasrat supaya FLORIA menjadi setara dengan Festival Tulip Belanda yang diadakan di Keukenhof, Belanda dan festival bunga terkenal di seluruh dunia ini turut menerima anggaran sejuta pengunjung setiap tahun dari lebih seratus negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Azizah berkata, FLORIA juga menempa sejarah tersendiri apabila menerima pengiktirafan Council of Asia Flower Exhibitions (CAFE) yang ditubuhkan di Korea Selatan.

“Ini adalah satu penghormatan kepada FLORIA yang diakui sebagai festival bunga dan taman terbesar di rantau ini.

“Pelantikan menyertai CAFE bersama-sama perwakilan dari Korea, Indonesia, Bhutan, Malaysia, Nepal, Pakistan, Taiwan, Kazakhstan, Jepun, Thailand, Singapura dan Filipina adalah satu kejayaan bagi FLORIA,” katanya.

Sehubungan itu, Azizah turut menyuarakan hasrat menjadikan festival berkenaan sebagai acara tahunan untuk memberi nilai tambahan terhadap rakyat, melalui jalinan kerjasama badan korporat dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Sebelum itu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat mencemar duli menyempurnakan gimik pelancaran festival berkenaan.

Baginda mencuri tumpuan umum apabila dilihat membawa kamera bagi merakam sendiri gambar bunga-bungaan ketika mencemar duli melawat beberapa tarikan terdapat di FLORIA Diraja Putrajaya 2018.

Terdahulu, festival yang mengetengahkan tema ‘10 Kegemilangan FLORIA’ itu berlangsung selama sembilan hari mulai 25 Ogos hingga 2 September, di Anjung Floria Event Centre, Presint 4, di sini.

Menariknya, ia bakal menghidangkan beberapa komponen baharu yang dijangka menarik minat ramai pihak termasuk ‘Wonder Garden’, ‘Fertigation Garden’, ‘Miniature Garden’, ‘Entrance Statement’, ‘Designer Boutique Garden’ dan ‘Hipster Square’.

 


Pengarang :