BERITA UTAMASELANGOR

Sistem Smart Doket kurangkan ketirisan hasil, jana pendapatan negeri

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 SEPT: Sistem Smart Doket yang diperkenalkan Kerajaan Negeri dalam memantau pengeluaran bahan batuan secara langsung mampu mengurangkan ketirisan hasil negeri, sekali gus dapat menjana pendapatan dan membolehkan rakyat Selangor menerima manfaat daripadanya.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sejumlah RM387 juta berjaya diperolehi daripada royalti bahan batuan dari tempoh 2010 hingga 2017 berbanding hanya RM5 juta kutipan setahun, sebelum 2008.

Katanya, jumlah kutipan keseluruhan berkenaan bukan sahaja melangkaui sasaran, malahan mencatat lebih RM100 juta.

“Ia membuktikan dapatan kutipan ini bukan satu jangkaan yang dipetik dari bintang tetapi mempunyai asas kukuh. Kita melihat operasi sebelum ini merugikan kerana terdapat kecenderungan aktiviti haram seperti kecurian pasir, perlombongan kuari dan faktor lain.

“Namun pada 2008, Kerajaan Negeri mula menyelaraskan pusat aktiviti ini dengan menubuhkan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB). Bermula dengan ini, kita berjaya mengutip RM15 hingga RM40 juta setahun dan terus meningkat kepada RM80.127 juta, pada tahun 2017,” katanya pada Majlis Pelancaran Sistem Smart Doket Selangor 2018, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, sistem elektronik berfungsi mengurus dan memantau sumber mineral di Selangor sejak 7 September 2017 membabitkan tiga projek perintis di tapak pengeluaran iaitu Hybrid Off River Augmentation System (HORAS) di Bestari Jaya, Kuala Selangor; Kajang Rock (Semenyih) dan Hanson Quarry (Rawang).

Katanya, Kerajaan Negeri menerima maklum balas positif memandangkan sistem itu sangat mudah digunakan dan mempunyai ciri keselamatan yang tinggi menerusi projek perintis itu.

“Diperingkat pentadbiran tanah, pemantauan dan laporan dapat dijana secara langsung, manakala unit penguatkuasaan akan dapat melakukan pemeriksaan ‘QR Code’ melalui ‘mobile apps’ yang dibangunkan.

“Sebagai sebuah negeri yang maju, pembangunan yang pesat dan moden tidak akan dapat dilaksanakan jika pembekalan bahan binaan daripada sumber batuan tidak mencukupi dan tidak menepati kehendak pasaran.

“Dengan adanya sistem ini, maka pemain industri akan mempunyai landasan yang jelas bagi memastikan pengeluaran yang dilakukan memberi pulangan menguntungkan,” katanya.

Amirudin berharap dengan perkembangan teknologi semasa itu, pertumbuhan ekonomi negeri dapat terus berkembang dan pengurusan dapat dijalankan dengan telus, berintegriti serta mampu memberikan persepsi positif kepada pelabur juga pentadbiran negeri lain.

Terdahulu, Sistem Smart Doket adalah satu inovasi baru yang diperkenalkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor selepas sistem E-Strata dan ‘E-Charting’.

Idea untuk membangunkan sistem berkenaan tercetus selepas penemuan Laporan Audit Negara 2014 yang mengesyorkan penambahbaikan perlu dilakukan terhadap kaedah kutipan royalti bahan batuan memandangkan ia dilakukan secara manual tanpa pemantauan ketat.

 

 


Pengarang :