NASIONAL

Langkah wujudkan Pusat Intervensi Awal di sambut baik

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Langkah Kerajaan Negeri mewujudkan Pusat Intervensi awal kanak-kanak istimewa di Selangor disambut baik.

Pengerusi Persatuan Taska Selangor, Mahanom Basri berkata, langkah berkenaan tepat pada masanya bagi memberi golongan berkenaan mampu menjalani kehidupan seharian.

“Saya menyambut baik pelaksanaan ini kerana perlu bagi guru dan kakitangan taska belajar mengenai pendedahan bagaimana mengajar anak-anak ini.

“Kadang kala guru di pusat taska bila berhadapan dengan anak-anak ini mereka tidak tahu berbuat apa-apa.

“Jadi, dengan adanya latihan atau kewujudan pusat itu nanti pastinya banyak memberi kelebihan dan manfaat kepada semua pihak,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Pengarah Pusat Permata Kurnia (PPK), Prof Dr Hasnah Toran berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam merangka dan menawarkan khidmat bimbingan percuma kepada guru itu nanti.

Katanya, walaupun guru dan kakitangan di pusat berkenaan sibuk mendidik 475 pelajar, namun masih mampu untuk menyumbangkan kepakaran mereka.

“Kami di sini sangat prihatin dengan anak-anak istimewa ini. Jadi, sudah tentu inisiatif yang akan dilaksanakan ini menjadi satu yang sangat baik kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut mengalukan kerjasama dalam pelbagai bentuk sama ada pandangan dan kemahiran.

Terdahulu, Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud mengadakan lawatan kerja ke PPK, di sini.

Dr Mariah berkata, pusat berkenaan bertujuan untuk kanak-kanak istimewa
menjalani kehidupan meliputi aspek kemahiran urus diri, bermain dan pendidikan.

Malah, pusat itu tidak hanya tertumpu kepada autisme sahaja tetapi pelbagai jenis penyakit lain.

Sebanyak dua buah taska di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipilih menjadi projek perintis pusat berkenaan.


Pengarang :