NASIONAL

Serantau Muslim lancar tabung gempa bumi & Tsunami Palu

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 3 OKT: Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) mengambil langkah drastik dengan melancarkan Tabung Bantuan Kecemasan Gempa Bumi dan Tsunami kepada mangsa bencana itu di Palu dan Donggala, Sulawesi Tengah, Indonesia.

Pengurus Besarnya, Mohd Hakim Mohd Nor berkata, Serantau Muslim melahirkan rasa sedih atas kejadian yang tidak diingini yang berlaku di negara tersebut.

Katanya, tabung bantuan kecemasan itu dibuka akibat pihaknya difahamkan kebanyakan penduduk di sana tidak mendapat bekalan makanan, air bersih dan lain-lain kemudahan harian kerana laluan darat, laut dan udara masih tergendala.

“Malah, kita difahamkan ramai penduduk terpaksa keluar dari kawasan tersebut ekoran kekurangan bekalan asas dan kemudahan awam jalan raya, sekolah serta bekalan elektrik juga tidak dapat diakses.

“Ia amat menyedihkan apabila melihat ratusan penduduk yang terselamat terpaksa tidur di landasan akibat kehilangan tempat tinggal dan menyebabkan situasi di lapangan tersebut menjadi huru-hara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Hakim berkata, keadaan itu menyebabkan penerbangan dari Lanud AU Makassar terpaksa dihentikan kerana orang ramai berebut-rebut ingin keluar dari Palu dan hanya bantuan kemanusiaan sahaja boleh beroperasi.

“Kami juga merasakan keadaan di Palu kini berada sangat parah kerana mayat mangsa terkorban dalam bencana alam itu ada di merata tempat, walaupun proses menyelamat masih diteruskan.

“Malah, keadaan ini mungkin mendedahkan penduduk terselamat dengan masalah kesihatan lain sekiranya mayat tersebut tidak diurus dengan cepat,” katanya.

Katanya, orang ramai yang ingin membantu boleh melayari laman sesawang berikut, https://www.billplz.com/TabungSulawesi atau menghubungi 010-8659407 untuk mendapat keterangan lanjut.

Terdahulu, penduduk di sana dikejutkan dengan kejadian gempa bumi bermagnitud 7.7 skala richter dan tsunami setinggi tiga meter di pantai Palu.

Kejadian alam yang berlaku pada Jumaat lalu itu telah menggoncangkan Sulawesi Tengah dan menyebabkan lebih 1,400 orang kehilangan nyawa.


Pengarang :