BERITA UTAMASELANGOR

MB: Selangor hulur bantuan RM20,000 waris 6 anggota Bomba

SHAH ALAM 4 OKT: Kerajaan Selangor akan menyalurkan bantuan RM20,000 untuk setiap waris enam anggota Bomba yang lemas dalam operasi mencari dan menyelamat di Puchong malam tadi, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Amirudin juga mengarahkan lombong yang meragut nyawa enam anggota bomba di Puchong itu ditutup selepas misi cari remaja hilang selesai.

Jenazah enam anggota Bomba dan Penyelamat itu selamat disolatkan di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, pagi ini.

Solat jenazah itu disertai kira-kira 100 rakan sejawatan mereka dalam pasukan bomba selain orang awam.

Turut hadir adalah Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Mohamad Mentek serta Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mohd. Hamdan Wahid.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 9 malam semalam, enam anggota bomba dari Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Selangor terkorban ketika melakukan usaha mencari dan menyelamat seorang remaja di kawasan lombong berkenaan.

Kejadian terbabit dipercayai berpunca daripada pusaran air deras yang terjadi susulan hujan lebat sejak petang semalam sehinga menyebabkan tali dipasang mereka terbelit antara satu sama lain di dasar lombong.

Empat daripada mangsa terkorban termasuk anggota BBP Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.

Manakala dua lagi anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Sebelum itu, Amirudin menzahirkan ucapan takziah buat keluarga enam anggota bomba yang meninggal dunia akibat lemas di sebuah lombong, di Taman Putra Perdana, Puchong, malam tadi.

“Inalillahwainailaihirajiun. Takziah buat keluarga anggota penyelamat JBPM yang lemas ketika menyelamatkan remaja yang jatuh.

“Pengorbanan mereka yang sanggup mengadai nyawa sungguh mengharukan.

“Semoga roh mereka dicucuri rahmat. Al Fatihah,” tulis Amirudin menerusi Twitternya.


Pengarang :