SELANGOR

MPSJ laksana persiapan awal cegah banjir kilat

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 4 OKT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) komited melaksanakan persiapan awal memantau dan menyelenggara sistem saliran dengan lebih kerap di kawasan pentadbirannya.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, ia membabitkan kawasan tumpuan banjir kilat bagi memastikan bencana berkenaan tidak berulang.

Katanya, MPSJ juga memantau lokasi banjir serta membantu kerja pemotongan pokok tumbang yang menghalang perjalanan lalulintas disebabkan ribut dan hujan yang lebat yang melanda.

“Selasa lalu, di bawah pentadbiran MPSJ ditenggelami air akibat daripada kejadian banjir kilat yang berlaku dan menyebabkan kesesakan lalulintas yang teruk.

“Antaranya di Kampung Sri Aman, Kampung Kenangan, Kampung Tengah, Kampung Kuala Sungai Baru, Kampung Sri Andalas, Persimpangan Bertingkat Puchong Utama dan juga di kawasan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) berdekatan dengan susur keluar Bandar Puteri, Puchong.

“Bagi mengatasi permasalahan banjir itu, pihak MPSJ mengambil tindakan dengan menghantar bantuan awalan melalui Pasukan PANTAS MPSJ,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, katanya, MPSJ turut mengadakan lawatan tapak di lokasi berkenaan serta melaksanakan kerja pemeriksaan longkang secara menyeluruh di lokasi.

Katanya, ia bagi memastikan tiada sebarang halangan yang boleh menyebabkan sistem saliran tersumbat.

“Dalam kejadian ini, MPSJ mendapati antara puncanya adalah disebabkan oleh penerimaan taburan hujan amat tinggi berbanding hari biasa iaitu sebanyak 117mm.

“Ia juga disebabkan limpahan lumpur yang menyebabkan banjir kilat itu berlaku,” katanya.


Pengarang :