Selangorkini
NASIONAL

PM: Latihan lebih berkesan, elak tragedi berulang

PUTRAJAYA, 4 OKT: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berharap latihan yang lebih berkesan perlu diadakan agar tragedi yang melibatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat tidak berulang pada masa hadapan.

Merujuk kepada tragedi yang melibatkan enam anggota JBPM yang meninggal dunia ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja yang terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, beliau menyifatkan ia tragedi yang menyedihkan.

“Ini adalah tragedi yang menyedihkan. Kita belum tahu kenapa enam orang tenggelam dalam satu usaha untuk menyelamatkan seorang yang hilang.

“Kita anggap ini satu tragedi dan meminta agar keluarga mangsa bersabar kerana kemalangan berlaku. Kita berharap ia tidak akan berulang lagi. Takziah kepada keluarga mangsa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Asean mengenai Pengurusan Bencana yang keenam di sini hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Ditanya sama ada bantuan akan disalurkan kepada keluarga mangsa, Dr Mahathir berkata kerajaan akan melihat perkara itu.

Enam penyelam PPDA maut ketika menjalankan operasi SAR seorang remaja terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong pada 9.15 malam Rabu.

Tragedi itu adalah yang pertama dalam sejarah jabatan itu melibatkan sekumpulan anggota terkorban pada satu masa.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :