NASIONAL

MetMalaysia: Gegaran, dentuman di Ipoh bukan gempa bumi

IPOH 4 OKT: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menafikan gegaran dan dentuman kuat yang berlaku di sekitar Ipoh dan daerah berdekatan berpunca daripada gempa bumi.

Ketua Pengarah METMalaysia, Alui Bahari, ketika dihubungi memaklumkan tiada amaran gempa bumi dikesan melalui alat pengesanan gegaran gempa.

“Kami turut menerima maklumat awam mengenai gegaran itu namun buat masa ini tiada gempa bumi dikesan menjadi punca kepada gegaran itu di Perak,” katanya, lapor BH ONLINE.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian satu dentuman kuat berserta gegaran yang berlaku di bandar raya ini pagi tadi sehingga menimbulkan tanda tanya dan panik dalam kalangan orang ramai.

Dentuman seperti letupan dan gegaran sekitar jam 11 pagi tadi itu turut didakwa didengari dan berlaku hingga ke beberapa kawasan lain termasuk di Taiping.

Kejadian itu turut menarik perhatian netizen yang turut mencari punca dentuman itu, malah ada yang turut mengaitkannya dengan gempa bumi yang berlaku di Indonesia.

Ada juga yang mengaitkan dentuman itu berpunca daripada latihan oleh pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sementara itu, Komandan Akademi Tentera Udara (ATU), Kolonel Abdul Nazar Abdul Hamid ketika dihubungi turut menafikan dentuman dan gegaran itu berpunca daripada aktiviti latihan pasukan itu.

Katanya, beliau sudah menyemak dengan pegawainya dan memaklumkan tiada sebarang aktiviti latihan menggunakan bahan letupan dijalankan pasukan itu.

SUMBER: BH ONLINE


Pengarang :