NASIONAL

KKM sahkan bakteria Salmonella punca keracunan laksa

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan ejen penyebab keracunan makanan laksa, baru-baru ini berpunca daripada bakteria ‘salmonella enterica serovar weltevreden’.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ujian ‘Pulse Field Gel Electrophoresis’ yang dijalankan di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh dan Makmal Keselamatan Kualiti Makanan Pulau Pinang mendapati bakteria itu dikesan dalam sampel klinikal pesakit serta sampel mi laksa.

“Bakteria itu didapati datang daripada mi laksa yang dibeli pada 4 Oktober lalu dari gerai terbabit. Difahamkan, mi laksa itu diproses dan dihasilkan sendiri dari milik pengusaha yang juga tuan punya gerai.

“Faktor yang menyumbang kepadakeracunan makanan ini mungkin berpunca daripada proses penyediaan dan penyimpanan mi laksa tidak bersih serta suhu penyediaan mi semasa pemprosesan juga suhu pemanasan semula sebelum dimakan tidak mencukupi untuk menyahkuman,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, gerai menjual laksa terbabit diarahkan tutup di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit 1988 sejak 8 Oktober lalu.

Katanya, pemilik premis juga harus mengambil langkah pembaikan segera dengan memastikan semua keperluan Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985, Peraturan Kebersihan Makanan 2009 serta keperluan Pihak Berkuasa Tempatan dipatuhi sepenuhnya sebelum boleh beroperasi semula.

“KKM akan terus mempergiatkan aktiviti pemantauan dan penguat kuasaan Akta Makanan 1983, Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan Kebersihan Makanan 2009 di semua premis makanan.

“Tindakan kompaun dan undang-undang boleh diambil ke atas pemilik premis atau pengendali makanan yang tidak akur teerhadap peruntukan di bawah peraturan itu,” katanya.

Jumlah keseluruhan kes di tiga negeri (Kedah, Perak Selangor) kekal 83, termasuk dua kematian susulan kejadian keracunan makanan yang berpunca daripada memakan laksa di sebuah premis di Kupang, Baling, Kedah, pada 8 Oktober lalu.


Pengarang :