PBTSELANGOR

TAFES MPSepang terima penarafan Malaysia Book Of Records

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 31 OKT: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) berjaya menerima penarafan Malaysia Book Of Records (MBOR) menerusi pelaksanaan Taksa Free Aedes (TAFES), baru-baru ini.

Timbalan Yang Dipertuanya, Muhammad Hafiz Shaari berkata, TAFES adalah silibus yang dirangka dan dibangunkan bagi memberi pendidikan serta pendedahan awal berhubung kawalan juga pencegahan denggi di peringkat pra-sekolah.

Katanya, ia bertujuan melatih dan membimbing guru di peringkat prasekolah dengan pengetahuan serta kemahiran mendalami ilmu berkaitan denggi.

“TAFES juga mendidik dan membimbing anak di fasa prasekolah berkenaan pencegahan serta kawalan demam denggi selain membentuk juga menzahirkan anak menjadi generasi berpengetahuan, positif dan menjadi agen perubahan dalam keluarga.

“Ia juga memastikan keadaan persekitaran taska, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak bersih serta bebas pembiakan nyamuk,” katanya kepada SelangorKini.

Sehubungan itu, Muhammad Hafiz mahu kakitangannya tidak jemu untuk sentiasa berinovasi dan mencari idea baru dalam menyampaikan perkhidmatan lebih baik.

Beliau turut menyarankan kakitangan MPSepang supaya menanam sikap berlumba-lumba mendapatkan ilmu pengetahuan sebagai teras dalam menjayakan inovasi dan kreativiti.

“Pembudayaan inovasi dalam MPSepang harus diteruskan dan dipertingkatkan supaya tidak menjadi sekadar cakap kosong dan amat luas serta perlu diterjemahkan dalam seluruh aspek kehidupan yang membawa kesejahteraan serta kemakmuran kepada rakyat, di daerah Sepang.

“Pembudayaan inovasi bermula dari kefahaman penghayatan ilmu berkaitan inovasi, maka menjadi kewajipan kepada ketua jabatan dan ahli majlis untuk melaksanakan penghayatan ilmu dalam kalangan warga kerja bagi meningkatkan serta mengembangkannya,” katanya.


Pengarang :