NASIONAL

Itu bukan pakaian tentera Komunis – Liew Chin Tong

LUMUT 31 OKT: Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong menegaskan pakaian seragam yang dipakainya semasa pemeriksaan barisan tentera baharu-baharu ini bukan pakaian tentera komunis, sebaliknya pakaian korporat Kementerian Pertahanan.

Liew berkata tindakan segelintir pihak yang hanya mahu memperbesarkan isu itu dengan menularkannya dalam laman sosial media dianggap tidak bertanggungjawab.

“Itu pakaian korporat kementerian dan bukan saya sahaja yang pakai tetapi Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu juga pakai kerana kami adalah rakyat biasa tidak perlu memakai uniform tentera.

“Itu keputusan bersama yang diambil kerana kami tidak melalui kesukaran serta terlibat dalam latihan ketenteraan jadi kami tidak layak memakai pakaian seragam tentera walaupun menteri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan upacara peletakan lunas Kapal Tempur Pesisir (Littoral Cobat Ship)TLDM ke-empat (LCS4) di Limbungan Boustead Naval Shipyard (BNS) di sini hari ini.

Liew berkata pakaian seragam Kementerian Pertahanan itu digunapakai untuk kakitangan bukan tentera dan rakyat mungkin tidak mengetahui perkara berkenaan sehingga timbul salah faham yang mendakwa pakaian itu seakan pakaian komunis.

“Saya faham kalau dulu menteri pakai seragam tentera jadi ramai tidak tahu ada baju seragam ini dan bagi saya ia adalah perkara remeh yang dibangkitkan sesetengah pihak,” katanya.

Pakaian korporat itu disediakan Kementerian Pertahanan untuk majlis rasmi tentera seperti lawatan kem, pos keselamatan dan program yang ditentukan oleh penganjur dan pernah menjadi pakaian rasmi bagi anggota kabinet pada Sambutan Hari Kebangsaan, tahun lepas.

Gambar Liew mula tular dalam laman sosial sejak semalam dan mengundang kontroversi selepas beliau didakwa memakai pakaian seragam komunis di hadapan askar Melayu.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :