NASIONAL

Najib boleh ‘bantu’ kerajaan bayar hutang

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Datuk Seri Najib Razak boleh ‘membantu’ kerajaan dengan mendedahkan cara membayar hutang ditanggung negara, ketika ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara sinis berkata, mantan perdana menteri itu seharusnya memberi perhatian terhadap masalah dihadapinya berbanding cuba mengalih isu dan menyalahkan kerajaan.

“Saya mahu menyertai beliau dan meminjam beberapa trilion kemudian menjelaskan bagaimana membayarnya semula.

“Jika beliau boleh memberitahu saya bagaimana, contohnya membawa keluar wang disembunyikannya, maka kita boleh membayar hutang ditanggung kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Polisi Nasional Untuk Industri 4.0 di Dewan Perdana, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Najib bahawa kerajaan tidak mempunyai hala tuju jelas memulihkan ekonomi negara dan tidak terus menuding jari kepada kerajaan terdahulu dalam isu berkenaan.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking; Timbalannya, Dr Ong Kian Ming dan Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Datuk Soh Thian Lai.


Pengarang :