PELANCONGANSELANGOR

Condor Airlines tawar penerbangan terus KLIA-Frankfurt

SEPANG, 2 NOV: Condor Airlines, pesawat komersial dari Jerman muncul pengendali penerbangan terbaru memilih Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai destinasi penghubung.

Ketua Pegawai Strategi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Azli Mohamed berkata, pemilihan itu berupaya melonjakkan lagi imej KLIA berdasarkan reputasi Condor Airlines sebagai operator penerbangan kedua terbesar di Jerman.

“Condor Airlines, antara perintis yang mempunyai sejarah dalam industri penerbangan menjadi pesawat penumpang ke-58 memilih untuk beroperasi di KLIA.

“Selain berupaya meningkatkan jumlah penumpang di KLIA, penerbangan terus ini juga mampu mengukuhkan segmen ekonomi dan pelancongan negara,” katanya sejurus menyambut ketibaan penerbangan sulung Condor Airlines yang mendarat di KLIA hari ini.

Ketibaan pesawat B767-300 dari Frankfurt pada 6.35 pagi yang disertai Duta Malaysia di Jerman, Sarah Nava Rani Al Bakri Devadason itu disambut oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Ketibaan pesawat yang turut membawa bersama tujuh petugas media dari Jerman itu disambut dengan water salute sebaik mendarat, manakala penumpang dihiburkan dengan persembahan kebudayaan oleh Tourism Malaysia.

Mengulas lanjut, Azli berkata untuk permulaan Condor Airlines menyediakan penerbangan tiga kali seminggu bagi laluan Kuala Lumpur-Frankfurt iaitu pada Selasa, Jumaat dan Ahad manakala Isnin, Khamis dan Sabtu bagi Frankfurt ke Kuala Lumpur.

Sementara itu Kamarudin dalam ucapan alu-aluannya memuji usaha itu dengan berkata ia adalah tepat pada masanya, terutama dalam usaha untuk melancarkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

Beliau berkata ia juga menunjukkan minat yang tinggi oleh kerajaan untuk mengukuhkan kehadiran negara di pasaran Jerman, iaitu Malaysia sering menjadi rakan dagang utama Jerman dalam kalangan negara ASEAN.

“Dengan tawaran laluan baharu ini, saya berharap ia akan menawarkan perkhidmatan lebih baik kepada rakan kongsi kedua-dua negara dan jaminan komitmen kami untuk pertumbuhan pelancongan yang lebih baik dan lengkap,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :