SASTERA

Jentikan semiotik sinema One Two Jaga

Oleh Za’im Yusoff

 TIDAKLAH berlebihan jika prop sinema One Two Jaga (2018) dinilai sebagai kejayaan sebuah sinema tempatan dalam melahirkan simbol metafora puitis menurut kaca mata semiotik.

Semiotik secara ringkas adalah kajian tentang tanda, pelahiran dan komunikasi yang terkait dengan fungsi sosialnya. Tanda dalam semiotik pula meliputi bahasa ujaran dan bukan ujaran. Bahasa ujaran melibatkan percakapan dan bunyi sementelahan bahasa bukan ujaran adalah berkenaan gerak lakonan watak dan kod budaya ditandai prop-prop yang diletakkan dalam rupa adegan (mise-en-scène).

Kualiti percakapan menerusi skrip lakon layar One Two Jaga adalah “sudah terang lagi bersuluh” tatkala penonton usai tontonan mengemas kini akaun media sosial masing-masing dengan dialog tentang ketam, anjing, akar dan pohon selain lontaran bersahaja pertembungan prinsip antara watak. Begitu juga runut bunyi yang minimalis namun impaknya maksimum.

Jika dalam Traffic (2000) arahan Steven Soderbergh, seri warna kuning digunakan bagi menggambarkan keadaan yang hangat, berdebu lagi usang di Mexico selari dengan watak penyangaknya yang agah, One Two Jaga memilih tona kuning kelam bersesuaian dengan naskhah kisah gelapnya. Begitu pun, ada babak tertentu warna hijau sengaja dimunculkan ketika eksposisi watak sekaligus mencetuskan tanda tersendiri.

Contohnya, dinding hijau di dalam bilik triaj sewaktu Hussein disoal ketika prolog, bingkai awal pepohon pisang hijau di belakang kereta Adi juga hutan hijau ketika mayat dibakar. Warna hijau di dalam bingkai yang dipaparkan terang lagi segar seperti memaklumkan watak itu tidak bermula dengan sifat semula jadi yang korup sebaliknya dengan kementahan nan polos, sepolos wajah Adi ketika membalas soal siasat dengan, “Saya tidak tahu apa-apa pasal ini”.

Dalam One Two Jaga, posisi watak dan objek simbol menawarkan maksud bertelingkah. Perekat “I’m a bribe free Malaysian” berada di sebelah kiri bingkai, Adi pula diposisikan di sebelah kanan.

Dari sudut semiotik budaya Melayu-Islam, kanan mengisyaratkan kebenaran sebaliknya kiri itu kebatilan. Darihal itu, posisi perekat dan Adi memberikan makna ironi seraya pertelingkahan nilai di mana pesanan perekat itu tidak lebih hanya slogan palsu, sebaliknya tindakan Adi membela kerja korupsi bapanya sepanjang naratif adalah benar dalam pandangannya dek tersepit antara keperluan pekerja luar dalam melangsungkan perniagaan dengan tekanan anggota pihak berkuasa yang korup.

Jukstaposisi One Two Jaga juga dibina dengan meremangkan lagi realiti. Joko cedera ditembak secara rambang oleh Hussein namun dek tidak dapat ke hospital lantaran statusnya yang tidak sah di sisi undang-undang, Joko terkorban.

Ironinya, sekalipun Hassan ditembak secara tepat oleh Sugiman namun kerana Hassan tidak ada masalah untuk dibawa ke hospital, dia terselamat sambil menunggu perbicaraan. Penonton memamah adegan realis dengan begitu pahit lantaran jukstaposisinya tidak menawarkan ekspetasi palsu tetapi realiti yang berlaku.

Jukstaposisi juga berlaku dengan indah dalam One Two Jaga untuk menggambarkan prarasa Sugiman bagi adegan tragedi yang diisyaratkan dalam mimpi malah setelah tersedar darinya.

Imej darah mengalir dalam genangan air menggambarkan tragedi berdarah ketika hujan. Wajah anjing melengking menggambarkan simbol utama naratif selain di hujung, dalam satu bingkai Sugiman melihat ke belakang jip Adi dibelakangi seekor anjing melengking sebelum tragedi itu berlaku.

Fabrik trampoline biru yang menjadi tempat Joko bersembunyi pula digambarkan sebelumnya dengan selimut yang menyelimuti Joko oleh Sugiman setelah tersedar dari mimpi dilatari azan pada laungan Hayya ‘Alal Falah”. Harapan untuk berjaya dalam migrasi yang payah seraya punah dengan tragedi berdarah itu.

Keindahan jukstaposisi seperti dalam One Two Jaga inilah yang memvisualkan apa yang penulis lakon layar Hollywood, David Mamet sebutkan betapa mimpi dan filem adalah jukstaposisi imej dalam memberikan khalayak jawapan kepada persoalan yang diutarakan.

Dalam One Two Jaga, Namron menggambarkan keterpurukan pasangan Sugiman-Sumiati juga gandingan Rico-Marzuki dengan simbol haiwan tersangkar. Ketika Sugiman membawa Sumiati mencari jalan untuk kembali ke Indonesia dengan bertemu Pak Sarip, mereka dilatari imej burung-burung yang tersangkar.

Sekalipun imej ini dilihat seperti prop asing di luar naratif yang dibawa ke dalam bingkai tidak sepuitis imej tangki air yang dinaiki watak Ah Qiang lakonan Jack Tan yang merupakan naratifnya dalam Shuttle Life (2017), namun konsep simbol terperangkap itu diulang guna secara berkesan dalam memerikan nasib Rico-Marzuki pula.

Ketika Zul mengejar Marzuki di pasar, bingkai kamera menangkap imej bakul-bakul ayam yang diniagakan dan ternyata Marzuki tertangkap dan dibawa ke hadapan James untuk ‘diniagakan’ bagi memeras wang yang lebih daripada majikannya yang bergelar Datuk itu.

Ramai pengkritik memuji lakonan Vanidah Imran bagi watak Rozita, isteri Hassan sekalipun muncul dalam tiga babak singkat. Selain lakonan bersahaja dengan ekspresi naif seorang isteri golongan marhaen yang terdesak menjaga air muka keluarga dan imej polis si suami, pakaian Vanidah “I Love Phuket” juga pakaian anaknya “I Love Tioman Island” menatijahkan kesan emotif yang selari dengan naratif mereka yang beria-ia mahu melancong.

Malah jika diperhatikan, pemakaian baju tersebut bermotifkan perbelanjaan hal kehendak bertelingkah dengan prinsip berbelanja mengikut keperluan buat golongan marhaen jika disorot dengan anjuran mengukur baju di badan sendiri! Ini selari dengan pandangan tokoh semiotik Perancis, Roland Barthes yang menanggapi pakaian sebagai tanda heterogen bagi memperlihatkan bukan sekadar tabiat eksentrik seseorang malah darjah konformis watak-watak yang diperankan.

Begitulah juga, pakaian Joko bersimbolkan “Eagle” memvisualkan tingginya cita-cita Sugiman untuk melihat anaknya itu meraih peluang di tanah bumi bertuah, Malaysia. Tetapi sayang, sang helang tidak sempat terbang tinggi lantaran terkorban waktu hujan deras membasahi.

Cita-cita itu sebelumnya diperincikan sebagai peluang pendidikan yang ditelahi Sumiati sebagai hanya sekadar bersekolah di jalanan. Keinginan berpelajaran itu ternyata bukan sekadar pada Sugiman dan Sumiati, malah ketika bermain-main dengan anak-anak kucing di jalanan, Joko dibingkaikan dengan memakai kasut sekolah berkapurkan putih serlah.

Tuntasnya, sekalipun Namron menyifatkan One Two Jaga sebagai sinema arahannya yang ringan, namun terbukti Namron tidak sesekali meringan-ringankan karyanya. Jika George Lucas berpendapat rahsia bagi filem adalah ilusi, ternyata bagi Namron, rahsia untuk menjentik penontonnya dengan berbisa dalam filem adalah semiotik realiti.


Pengarang :