SELANGOR

Sektor perkilangan jana pelaburan RM3.096 bilion

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 NOV: Sebanyak 83 projek perkilangan diluluskan Kerajaan Negeri bagi Januari hingga Jun tahun ini dengan nilai pelaburan RM3.096 bilion.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim berkata, ia membabitkan RM1.57 bilion pelaburan asing dan RM1.52 bilion pelaburan tempatan.

“Berdasarkan statistik dari 2016 hingga 2018, sebanyak 31,165 potensi peluang pekerjaan diwujudkan hasil daripada 527 projek perkilangan yang diluluskan,” katanya.

Beliau berkataa demikian menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar, Rizam Ismail, pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Sementara itu, katanya, seramai 569 pekerja diberhentikan dalam pelbagai sektor bagi tempoh 2016 hingga 2018 ekoran syarikat terbabit gulung tikar.

Katanya, jumlah berkenaan membabitkan 52 majikan, di negeri ini dengan 543 adalah pekerja tempatan, manakala selebihnya pekerja asing.

“Mereka diberhentikan ekoran syarikat berkenaan gulung tikar atau menamatkan operasinya.

“Sebanyak 46 orang (diberhentikan) pada 2016, 320 orang bagi 2017 dan 203 orang bagi tahun ini,” katanya.


Pengarang :