PUTRAJAYA, 1 Jan — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Muhamad Ali hadir mengibarkan Jalur Gemilang semasa menyambut Tahun Baharu 2019 di Dataran Putrajaya hari ini. Turut hadir, Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad, Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Dr Aminuddin Hassim serta sebahagian Menteri Kabinet. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

PM sertai rakyat sambut tahun baru 2019

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Sambutan ambang tahun baru 2019 disambut meriah di seluruh negara dengan percikan bunga api, tepat jam 12 tengah malam tadi.

Di Putrajaya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama ribuan rakyat Malaysia menyambut detik tengah malam tahun baharu 2019 di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dengan sinaran lampu berwarna-warni dan pertunjukan bunga api, termasuk bunga api digital.

Acara sambutan tahun baharu penuh aneka warna itu bersempena Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) 2018 di Dataran Putrajaya, di sini.

Dr Mahathir bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang tiba di Dataran Putrajaya, pada jam 11 malam disambut Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Sejurus tiba, beliau menyaksikan persembahan ‘Projection Mapping LAMPU 2018”.

Selepas detik tengah malam, beliau dan pengunjung menyaksikan pertunjukan bunga api serta bunga api digital selama enam minit, kemudian berkumandang ‘Negaraku’.

Dalam ucapan ringkas sebelum detik tahun baharu, Dr Mahathir menyarankan rakyat berusaha lebih gigih untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju, menjelang 2025.

“Ini adalah cita-cita kita. Semua pihak perlu mencetuskan keadaan damai dan bersama membangunkan negara.

“Saya yakin kita semua akan bekerjasama untuk membangunkan negara bertuah ini. Ini adalah negara kita bersama dan terpulang kepada kita semua untuk mencorak negara ini,” katanya.

Sementara di Selangor, sambutan ambang tahun baharu di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam menyaksikan kelainan apabila ia disambut dengan gema bacaan selawat diketuai pendakwah terkenal, Al-Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid.

Ia turut disertai Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

*Sumber: Diolah dari BERNAMA


Pengarang :