NASIONAL

AirAsia minta pelanggan semak status penerbangan

KUALA LUMPUR, 26 JAN: AirAsia Bhd meminta semua penumpang menyemak semula status penerbangan ekoran penutupan satu landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, Bangkok (DMK) bagi kerja penyenggaraan.

Syarikat penerbangan tambang murah itu dalam kenyataan hari ini berkata, kerja penyelenggaraan akan bermula pada 29 Januari (12.01 tengah malam waktu tempatan) hingga 1 Februari ini (11.50 malam waktu tempatan).

Katanya, keadaan itu menyebabkan operasi AirAsia di Bangkok akan terjejas, kemungkinan mengakibatkan kelewatan penerbangan dan dijadualkan semula atau pembatalan penerbangan.

“Kami sedang bekerjasama dengan pengendali lapangan terbang itu berkaitan perkara ini dan akan memberi maklumat terkini melalui e-mel serta sistem pesanan ringkas (SMS) kepada pelanggan terbabit berhubung sebarang perubahan kepada status penerbangan mereka,” katanya.

Pelanggan AirAsia yang membuat perjalanan semasa tempoh itu digalakkan sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan status penerbangan mereka di airasia.com/flightstatus.

Pelanggan juga digesa meletakkan alamat e-mel dan nombor telefon (berserta awalan kod negara) di ruang maklumat terkini profil anggota AirAsia di airasia.com bagi memastikan mereka boleh dihubungi bagi bantuan, tepat pada masanya.

 


Pengarang :