GLOBAL

PBB dakwa Korea Utara sorok peluru berpandu di lapangan terbang

NEW YORK, 6 FEB: Panel pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa program nuklear dan peluru berpandu Korea Utara masih utuh.

Panel itu dalam satu kenyataan semalam turut memaklumkan Pyongyang menggunakan lapangan terbang dan kelengkapan lain untuk melindungi senjata mereka daripada serangan tentera Amerika Syarikat (AS).

Katanya, sekatan ke atas Korea Utara adalah tidak efektif kerana Pyongyang masih terus menerima penghantaran bekalan produk bahan api, melanggar larangan penjualan arang batu dan melanggar sekatan senjata.

“Program nuklear dan peluru berpandu balistik Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) masih utuh.

“Panel mendapati DPRK menggunakan kelengkapan awam termasuk lapangan terbang untuk mengumpulkan peluru berpandu balistik dan mengujinya bertujuan untuk mematahkan sebarangan serangan,” kata laporan itu.

Laporan sulit itu sudah diserahkan kepada Majlis Keselamatan PBB ketika Presiden Donald Trump bersiap-sedia untuk menghadiri sidang kemuncak kedua dengan pemimpin Kim Jong-un, pada hujung bulan ini.

AS berharap ia bakal menghasilkan perkembangan yang kukuh dalam usaha menamatkan sepenuhnya program senjata Pyongyang.

Hasil siasatan panel terbabit adalah selaras penilaian perisikan AS bahawa Korea Utara mungkin tidak akan menamatkan program senjatanya tetapi bakal menawarkan untuk mengurangkan aktiviti mereka bagi mendapatkan kelonggaran sekatan.

*Sumber: AFP


Pengarang :