GLOBAL

Hakeem ke Canberra ucap terima kasih atas pembebasan

CANBERRA, 14 FEB: Hakeem al-Araibi melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Australia, Scott Morrison di bangunan Parlimen, hari ini bagi menyatakan terima kasih kepada kerajaan berikutan pembebasannya daripada tahanan penjara di Thailand.

Laporan agensi berita Australia, ABC mendedahkan Morrison berkata, kehadiran pemain bola sepak berstatus pelarian itu ke negara berkenaan dialu-alukan dan proses kerakyatannya ‘semakin hampir ke penghujung’.

Pemain kelahiran Bahrain berusia 25 tahun itu bertemu Morrison di Canberra, dua hari selepas kembali ke Australia di mana sebelum ini menghabiskan lebih 70 hari di dalam penjara Thai.

“Anda berdepan saat mencabar dan sungguh mengkagumkan melihat anda hadir di sini.

“Kami gembira dengan kehadiran ini dan anda boleh terus menjalani kehidupan di Australia,” kata Morrison sambil berharap bertemu al-Araibi lagi pada majlis penyerahan kewarganegaraan dan menambah ‘saya tidak fikir ia terlalu jauh’.

Menteri Luar, Marise Payne mengesahkan permohonan kewarganegaraan al-Araibi ‘berjalan dengan baik’ sambil al-Araibi mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua pemimpin itu dan bekas pemain bola sepak Australia, Craig Foster, yang membantu memimpin kempen untuk membebaskannya.

Beliau berharap dapat menyertai kelab separa profesional, Pascoe Vale dalam pertembungan dengan Bentleigh pada Jumaat depan.

Dalam pertemuan itu, Morrison turut menghadiahkan al-Araibi sebiji bola ditandatangani dengan kata-kata ‘selamat pulang Hakeem’ dan meminta beliau menurunkan tandatangan pada sebiji bola lain untuknya.

Terdahulu, al-Araibi menyaksikan pertandingan bola sepak persahabatan antara ahli politik dan pemain profesional, termasuk Foster dan bekas kapten Matildas, Kate Gill di kawasan pandag bersebelahan bangunan Parlimen.

Perlawanan bola sepak itu telah dirancang sebagai demonstrasi sokongan untuk al-Araibi ketika dia menghadapi penahanan tanpa batasan.

Pemain bola sepak itu dan isterinya sedang menikmati bulan madu di Bangkok ketika ditahan pada November tahun lalu atas permintaan Bahrain, yang mencari ekstradisinya.

Dia dikehendaki selepas melarikan diri dari negara itu ketika dituduh membinasakan sebuah balai polis pada 2012 dan telah dijatuhi hukuman 10 tahun penjara tanpa hadir.

Beliau menafikan terbabit dalam jenayah itu dan memberi alasan terbabit dalam perlawanan bola sepak di negara berkenaan pada ketika itu.

Di bawah tekanan diplomatik, Bahrain menggugurkan kes berkenaan minggu lalu serta membolehkan al-Araibi kembali ke Australia.

FOTO KREDIT: ABC

 


Pengarang :