SELANGOR

Hormati keputusan Mahkamah Tinggi demi keharmonian bersama

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 FEB: Semua pihak diminta menghormati keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan difailkan penganut Kuil Sri Maha Mariaman, semalam bagi menjamin ketenteraman awam dan keluhuran undang-undang.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri sedia memberikan kerjasama bagi melaksanakan keputusan itu melalui pendekatan terbaik dalam memastikan keharmonian semua terjamin.

“Merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam bertarikh 13 Februari 2019 oleh Yang Arif Datuk Wong Kian Kheong berkenaan isu Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield USJ 25 Selangor, Kerajaan Negeri mengambil maklum penghakiman itu yang membatalkan saman untuk menghalang pemindahan kuil dari tapaknya.

“Justeru, Kerajaan Negeri menggesa semua pihak terbabit untuk menghormati dan mematuhi keputusan penghakiman bagi menjamin ketenteraman awam dan keluhuran undang-undang.

“Kerajaan Negeri bersedia bekerjasama dengan semua pihak bagi mematuhi dan melaksanakan keputusan penghakiman serta akan mengambil segala langkah yang perlu bagi menjamin kesentosaan Selangor Darul Ehsan,” katanya dalam kenyataan

BERNAMA semalam melaporkan, Mahkamah Tinggi menolak dengan kos permohonan bagi injunksi interlocutory oleh 50 penganut Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya untuk menghalang One City Development Sdn Bhd, pemilik dan pemaju tapak kuil, daripada memasuki kawasan itu untuk tujuan perobohan.

Plaintif juga memohon antara lain, perintah menangguhkan pelaksanaan writ pemilikan bertarikh 14 Nov, 2017, yang diperoleh One City Development.

Hakim Wong Kian Kheong membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa plaintif tidak mempunyai justifikasi wajar untuk tindakan terhadap pemaju dan tidak mempunyai ‘locus standi’ di bawah Seksyen 9 (c) Akta Pertubuhan 1966 bagi memulakan tindakan saman.


Pengarang :