PBTSELANGOR

Lanjut pelan pengurusan lalu lintas Persiaran Kewajipan, KESAS

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 27 FEB: Pelaksanaan pelan pengurusan lalu lintas di Persiaran Kewajipan dan Persimpangan Lebuhraya Shah Alam (KESAS), yang bermula sejak Jun tahun lalu akan dilanjutkan.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Mohammad Zulkarnain Che Ali berkata, hasil pemerhatian mendapati aliran lalu lintas di persiaran terbabit adalah lancar selepas melaksanakan percubaan kajian bagi tempoh enam bulan, di lokasi berkenaan.

Katanya, MPSJ turut mendapat maklum balas positif daripada penduduk, terutama di kawasan Subang Jaya yang menyokong pelan pengurusan lalu lintas itu.

“Terdapat peningkatan 12,337 kenderaan yang melalui Persiaran Kewajipan dalam tempoh sejam semasa pemerhatian dilakukan, pada 27 September 2018, berbanding 9,084 kenderaan bagi tempoh sama, pada 2014.

“Jarak kesesakan berkurang 99.2 peratus iaitu sejauh 6.9 meter berbanding sebelum pelaksanaan sejauh 851.5 meter, sementara tempoh masa kesesakan, terdapat penurunan sebanyak 98.2 peratus bagi tempoh masa kesesakan lalu lintas dari 204.8 saat kepada 3.6 saat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPSJ Bil.2/2019, di Bilik Mesyuarat Kenanga Aras 2, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, pelaksanaannya adalah pelan jangka pendek bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Persiaran Kewajipan.

“Untuk pelan jangka panjang penyelesaian masalah terbabit, kita mencadangkan untuk menaik taraf sistem lalu lintas di kawasan ini dengan pembinaan Persimpangan U Bertingkat yang akan dilaksanakan pemaju berkaitan,” katanya.

Sebelum ini, pelan pengurusan membabitkan kedua-dua laluan itu diluluskan, pada Mac tahun lalu melalu tiga fasa pelaksanaan.

Ia bermula dengan hebahan makluman kepada penduduk, disusuli pelaksanaan penutupan pusingan ke kanan (Arah Kuala Lumpur) dan pelaksanaan penutupan ke kanan (Arah Klang), di Persiaran Kewajipan.


Pengarang :