NASIONAL

Kerajaan tangguh pengenaan duti eksais minuman bergula

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 7 MAC: Kerajaan bersetuju menangguhkan perlaksanaan pengenaan duti eksais ke atas minuman bergula mulai 1 April kepada 1 Julai depan.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Sri  Subromaniam Tholasy berkata, penangguhan itu bertujuan memberi tempoh mencukupi kepada industri pengeluar minuman membuat persediaan.

Katanya, penangguhan itu juga memberi ruang kepada Jabatan Kastam membuat persiapan sewajarnya termasuk mengadakan jerayawara dan melesenkan pengilang minuman bergula di bawah Akta Eksais 1976.

“Kerajaan sudah menerima maklum balas dan pandangan daripada pihak industri pengeluar minuman terhadap cadangan pengenaan duti eksais terbabit.

“Setelah mengambil kira pandangan semua pihak, kerajaan bersetuju menangguhkan pelaksanaan duti eksais ke atas minuman bergula mulai 1 April kepada 1 Julai,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan dalam Belanjawan 2019 mengenai cadangan memperkenalkan duti eksais pada kadar 40 sen per liter ke atas dua kategori minuman bergula yang dikilangkan dalam bentuk pembungkusan sedia diminum dengan nilai ambang kandungan gula.

Dua kategori itu adalah air minuman di bawah kepala kod tarif 22.02 yang mengandungi gula tambahan atau bahan pemanis lain yang mengandungi gula melebihi 5 gram per 100mililiter (ml) dan jus buah dan sayur di bawah kepada kod tarif 20.09 yang mengandungi gula melebih 12 gram per 100ml.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan juga bersetuju menaikkan nilai ambang kandungan gula daripada 5 gram per 100ml kepada 7 gram per 100ml bagi produk minuman berasaskan susu yang mengandungi laktosa (flavoured milk) di bawah kepala kod tarif 20.02, tidak termasuk produk minuman susu soya.

“Kenaikan nilai ambang bagi produk ini menunjukan keprihatinan kerajaan terhadap usaha untuk terus menggalakkan pengambilan produk berasaskan susu yang mengandungi gula yang lebih sihat di kalangan pengguna,” katanya.


Pengarang :