BERITA UTAMASELANGOR

Program berkualiti dan berterusan demi rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

BATU CAVES, 16 MAC: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, mengakui terdapat sedikit kelewatan terhadap program yang dirangka untuk rakyat, di negeri itu.

Bagaimanapun, katanya, ia bukan sengaja dilewatkan sebaliknya mahu kajian menyeluruh dilakukan terlebih dahulu untuk memberi manfaat secara berterusan kepada rakyat.

“Saya mahu memastikan sesuatu program itu betul-betul dapat membantu dan memberdaya bukan hanya dalam tempoh singkat tetapi berpanjangan.

“Namun, disebabkan itu berlaku pelbagai tuduhan dilemparkan dengan mengatakan kami tidak menunaikan janji dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini pada program santai Dato’ Menteri besar bersama penduduk dan penyerahan IPR di Dewan MPKK, Kampung Melayu Batu Caves, di sini, semalam.

Amirudin berkata, beliau sentiasa menerima teguran atau kritikan secara terbuka, namun ia perlu berasas.

Katanya, jika tuduhan tanpa kebenaran itu dilemparkan, ia hanya akan mengundang fitnah dan merosakkan keharmonian negeri.

“Sudah 11 tahun PAKATAN mentadbir Selangor. Ketika penggal pertama, sebanyak 11 program Inisiatif Peduli Rakyat dilaksanakan dan kemudian meningkat kepada lebih 40 program ketika ini, jadi sudah tentu ia akan mengambil sedikit masa.

“Hakikatnya, sejak 2008 kita sudah buktikan pelbagai usaha dilaksanakan dengan sebaiknya termasuk tahun lalu, Selangor mencatatkan pelaburan tertinggi dalam sejarah,” katanya.


Pengarang :