NASIONAL

PDRM berkas 13 suspek disyaki terlibat kumpulan pengganas

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangkap 13 suspek yang disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas ketika operasi, pada 11 dan 12 Mac lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kesemua yang ditangkap disyaki terlibat menganggotai Kumpulan Abu Sayyaf Group (ASG), Kumpulan Pengganas Maute, Kumpulan Royal Sulu Force (RSF) dan ditahan kerana terlibat dalam memberi perlindungan kepada elemen pengganas asing yang bersembunyi di Sabah.

Katanya, tangkapan pertama dilakukan pada 11 Mac lalu di Semporna membabitkan lima lelaki warga Filipina dan seorang rakyat Malaysia, berusia antara 40 hingga 60 tahun.

Katanya, empat daripada mereka disyaki terbabit dalam pertempuran bersama kumpulan pengganas Maute di Bandar Marawi, Filipina dua tahun lalu selain turut terbabit memberi perlindungan kepada kumpulan pengganas Maute serta beberapa warga Timur Tengah yang bersembunyi di Sabah.

“Dua lagi suspek ditangkap disyaki anggota kumpulan Royal Sulu Force (RSF) yang terbabit dengan insiden serangan di Lahad Datu dan Semporna pada 2013.

“Maklumat dan risikan mendedahkan, mereka merekrut anggota baru RSF dengan menjual kad keahlian kumpulan terbabit dalam kalangan warga Filipina yang menetap di Sabah.

“Kedua-dua mereka melarikan diri ke Selatan Filipina selepas kekalahan kumpulan RSF dan menyusup masuk ke Semporna pada November tahun lalu untuk mengaktifkan kembali kumpulan terbabit di Sabah,” katanya dalam kenyataan, pagi tadi.

Pada masa sama, beliau berkata, tangkapan kedua pula dilakukan di Tambunan membabitkan lima lelaki dan seorang wanita, berusia antara 23 hingga 63 tahun.

Katanya, seorang daripada mereka bekerja sebagai buruh, disyaki anggota Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) yang pernah terbabit dalam serangan di Marawi dan menyusup masuk ke Sabah pada Disember tahun lalu bersama-sama anggota kumpulan ASG lain bagi mengelak operasi ketenteraan pihak berkuasa Filipina.

“Baki lima suspek lagi ditangkap kerana memberi perlindungan kepada elemen kumpulan pengganas ASG dan pengganas Maute yang masih bebas.

“Manakala, dalam tangkapan ketiga di Tambunan pada 12 Mac pula, pihaknya menangkap seorang lelaki bekerja sebagai buruh berusia 39 tahun kerana memberi perlindungan kepada kumpulan pengganas ASG dan kumpulan Maute yang masih bebas,” katanya.

Beliau berkata, dengan tangkapan suspek terbabit polis yakin dapat mengesan dan memburu baki anggota kumpulan pengganas ASG dan Maute terbabit yang disyaki masih bersembunyi di negara ini, khususnya Sabah.

Semua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan keganasan yang disiasat mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

“Dalam operasi ini, polis turut menahan 10 warga Filipina kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan semua mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi itu dijalankan Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman dengan kerjasama Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dan Unit Komando 69, di dua lokasi iaitu Semporna dan Tambunan.


Pengarang :